
Oleh: Zuraidah Ahmad, Johny G.Kimlon & Jeffren Malaning(Sabah)
BEAUFORT, 13 Julai (Malaysiaktif) –? Lapan ribu masyarakat berbilang kaum, keturunan dan agama menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Beaufort, pada Ahad, sekali gus membuktikan rakyat mengamalkan konsep 1Malaysia.
Ahli Parlimen yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata majlis tahunan itu bertujuan untuk meraikan rakyat sempena sambutan Aidilfitri dan mengukuhkan perpaduan dlaam kalangan rakyat di kawasan berkenaan.
“Sambutan pada hari ini seperti juga pada tahun sebelumnya sangat membanggakan.
“Majlis ini bukan sahaja dihadiri oleh umat Islam tetapi pelbagai etnik, agama dan golongan usia.
“Kita tidak pernah melupakan golongan yang kurang bernasib baik seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal yang turut serta dalam membuat persembahan pentas dan menghiburkan para pengunjung.
“Majlis ini juga adalah untuk meraikan mereka, tetamu kehormat Ketua Menteri sendiri akan menyampaikan sumbangan duit raya kepada mereka,” ujarnya.
Azizah yang ditemani suami, Datuk Paiman Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman yang meluangkan masa menghadiri majlis berkenaan setelah dua tahun tidak berkesempatan.
“Majlis ini adalah untuk kita meraikan rakyat, dan bukannya meraikan pemimpin kerana ini ialah platform untuk rakyat bertemu dengan para pemimpin.
“Ini ialah satu penghormatan kepada rakyat di kawasan Parlimen Beaufort mereka boleh beramah mesra dan berjumpa dengan pemimpin kesayangan mereka itu,” katanya.
Musa ketika berucap, berharap rakyat akan terus mengekalkan dan mengukuhkan perpaduan sedia ada, di samping sentiasa memberi sokongan padu kepada kerajaan.
Menurutnya, ikatan silaturahim serta keharmonian antara kaum amat penting dalam mamastikan agenda pembangunan berjalan dengan lancar.
Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada golongan OKU, warga emas dan ibu tunggal.
Rata-rata pengunjung yang membanjiri dewan berkenaan dilihat membawa keluarga masing-masing seawal 9.00 pagi dan mereka yang ditemui menyatakan rasa puas hati kerana dapat berjumpa dan merakam gambar dengan para pemimpin yang disanjungi oleh mereka.
SF