Skip to main content
Berita TempatanSabah

Rakyat Perlu Bantu Salur Maklumat Tentang Daesh – Musa

By 13 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh:?Zuraidah Ahmad, Johny G.Kimlon & Jeffren Malaning(Sabah)

PAPAR, 13 Julai (Malaysiaktif) –? Rakyat digesa menyalurkan maklumat jika mendapati sebarang tindakan mencurigakan berkaitan kumpulan Daesh kepada pasukan keselamatan dengan segera.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, walaupun setakat ini Sabah tidak menerima maklumat mana-mana pihak terlibat dengan kumpulan Daesh, kerjasama semua pihak mampu menyekat pengaruh serta pergerakan kumpulan militan itu daripada terus berleluasa di negara ini.

“Walaupun Sabah tidak mendapat sebarang maklumat tentang mana-mana pihak terlibat dengan Daesh, Kerajaan Sabah sejak awal lagi telah meminta pihak pasukan keselamatan bersiap siaga untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Yang penting, rakyat harus memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan tentang apa sahaja jika mendpati ada perkara yang tidak betul atau mencurigakan dengan membuat laporan serta-merta.

“Semua pihak mestilah bekerjasama dalam soal keselamatan negara dan menjadi tanggungjawab kita,” katanya ketika diminta mengulas tentang tindakan Kerajaan Sabah berhubung insiden yang berlaku di Puchong baru-baru ini.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Papar di Dewan Masyarakat, kelmarin.

Jelas Musa, amalan mengunjungi majlis-majlis rumah terbuka dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum merupakan lambang keamanan dan kemakmuran negara ini.

Tambahnya, budaya tersebut selain mengeratkan silaturahim juga berupaya mencipta suasana kekeluargaan serta persaudaraan yang utuh.

Beliau berkata budaya yang telah diamalkan sejak sekian lama itu terbukti mengukuhkan perpaduan antara masyarakat Islam dan bukan Islam terutama di Sabah. Masyarakat bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, Tadau Kaamatan, Gawai dan sebagainya.

Amalan mulia itu juga, katanya, harus dipupuk dan diteruskan dari semasa ke semasa demi menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Majlis berkenaan merupakan kerjasama pintar antara Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dengan ADUN Pantai Manis, Datuk Seri Panglima Abdul Rahim Ismail dan ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

SF

Tinggalkan komen anda