
Oleh: Ahmad Faiz Mansur & Azimee Abdullah (Balik Pulau)
BALIK PULAU, 27 Julai (Malaysiaaktif) – Generasi muda sering kali dikaitkan sebagai pemangkin kemajuan negara.
Menyedari kepentingan itu, Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Politeknik Balik Pulau telah menganjurkan Program Apa Kata Gen-Y dan Gemilang Siswa di sini, semalam.
Program Apa Kata Gen-Y merupakan satu aktiviti berbentuk forum ilmiah yang melibatkan para pelajar Institusi Pengajian Awam dan Swasta sebagai salah satu pengisian aktiviti bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi Y.
Objektif utama program ini adalah untuk melihat corak pemikiran pemimpin masa hadapan dengan melihat sejauh mana pandangan, harapan dan keyakinan generasi Y terhadap hala tuju kepimpinan dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Program yang dihadiri kira-kira 1000 pelajar daripada Politeknik, Kolej Vokasional, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.
Dipengerusikan oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Mohd Affan Mohd Rosli, forum yang terdiri daripada empat orang panel terdiri daripada Politeknik Balik Pulau ini telah menobatkan Mohd Alif Arief Mahazir sebagai ahli panel terbaik.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Mohd Sukari Ab. Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, Mohd Farid Saad, Pengarah Politeknik Balik Pulau, Mohd Fisal Haroon dan Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang, Haji Ishak Abdullah.
-AH