Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

SUKMA XVIII-Pusat Media Tak Menang Tangan

By 28 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Baharruddin Mohamad & Saiful Rahman Sabri (Sarawak)

KUCHING, 28 Jul (Malaysiaktif)- Pusat Media Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 tidak menang tangan apabila menjadi tempat tumpuan pihak media yang ingin mengetahui maklumat terkini berkenaan dengan keputusan SUKMA yang berlangsung sejak 19 Julai lalu.

Sejak mula dibuka pada 18 Julai, bertempat di Pusat Akuatik Jalan Stadium Pusat Media SUKMA beroperasi bermula dari 7.30 pagi dan ditutup selepas berakhir majlis penutupan temasya pada 31 Julai ini.

Setiap hari petugas di bilik pusat media bertugas dari 7.30 pagi sehingga habis acara dan semua wartawan selesai membuat laporan masing-masing.

Menurut penyelaras pusat media, Roszilawati Nor Aziz, 49, sejak bermulanya SUKMA, dengan hanya berbekalkan tiga orang tenaga kerja, keadaannya memang tak menang tangan kerana perlu bersedia untuk melayan kehendak pihak media.

“Kebanyakan media yang menggunakan pusat media ialah media tempatan dan media dari Semenanjung Malaysia kerana di pusat tersebut banyak kemudahan yang ada termasuklah kemudahan wi-fi, komputer dan jadual pertandingan turut ditampal.

“Di samping itu, wartawan juga mendapat pelbagai maklumat berkaitan SUKMA dengan melayari laman web.sukmasarawak2016.my. Jika wartawan memerlukan maklumat segera kerana keputusan lambat dimasukkan ke dalam sistem, kami akan cuba mendapatkan maklumat daripada petugas rasmi di setiap lokasi pertandingan,” ujarnya lagi yang ditemui di Pusat Media hari ini.

Petugas Pusat Media SUKMA XVIII

Petugas Pusat Media SUKMA XVIII

 

Sementara itu, bagi petugas pusat media, Masuri Safiee, 49, sejak bertugas di Pusat Media ini,  banyak pengalaman baharu yang diperolehnya kerana sebelum ini dia belum pernah bertugas untuk sebarang temasya sukan. Lebih menarik apabila kali ini Sarawak sendiri terpilih sebagai tuan rumah.

Bagi Aishah Latip, 29, sebagai petugas tetap di pusat media sepanjang SUKMA, banyak pengalaman baharu yang ditimba kerana sebelum ini dia hanya pernah bertugas bagi Pilihan Raya,di Dewan Undangan Negeri (PRN) Mei lepas.

“Tugasan SUKMA membolehkannya mengendalikan hal sukan yang jauh berbeza dengan tugasan prn sebelum ini dan saya berasa seronok kerana berdepan dengan pelbagai karenah yang ditemui semasa menjalankan tugas,” ujarnya lagi.

Bagi Dayang Razimah Awang Yusof, 35, yang berkhidmat sebagai Sukarelawan SUKMA mengatakan bilik media cukup luas dan banyak kemudahan yang disediakan.

“Kerjasama daripada petugas pusat media sangat memuaskan selain mendapat banyak pengalaman baharu dalam pengendalian media.

“Apabila ditugaskan di pusat media, saya dapat pengalaman berurusan dengan pihak media apabila sesuatu peristiwa berlaku di samping dapat mengetahui teknik berurusan dengan pihak media,” tambahnya.

Bagi wartawan Astro Awani, Noraida Abdul Kassim, 30, pusat media yang disediakan sangat memuaskan dan bersih serta banyak kemudahan yang disediakan maka senang bagi pihak media untuk membuat kerja mereka.

“Petugas di pusat media ramah dan banyak kerjasama telah diberikan apabila kami memerlukan sesuatu keputusan dengan kadar yang segera. Saya berharap semoga pada masa akan datang di mana-mana temasya, pihak urus setia yang bertugas seharusnya menjadi seperti urus setia ini yang cukup mesra media,” katanya lagi.

 

-SF

Tinggalkan komen anda