Skip to main content
Berita TempatanSabah

Astro Kasih Sumbang RM50 Ribu Bantu Aktiviti Kebajikan

By 18 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Yahya Abdul Rajak & Taulani Hamzah(Sabah)

MEMBAKUT, 18 Julai (Malaysiaktif) – ?Bersempena Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri, Astro Kasih menyumbangkan sejumlah RM50,000 bagi membantu melaksanakan kerja-kerja kebajikan untuk penduduk di sekitar kawasan Dun Membakut dan Dun Bongawan.

Menurut Pengarah Kumpulan Astro, Dato Mohamed Khadar Merican, sebagai sebuah badan korporat, Astro berpegang kepada prinsip bangun seiring dengan pembangunan komuniti bersandarkan tanggungjawab sosial korporat.

“Kami terus komited membantu menyediakan kehidupan lebih bermakna kepada masyarakat, bukan sahaja menjadi sebuah syarikat penyiaran terbaik rantau ini malah sebuah badan korporat yang prihatin terhadap kebajikan masyarakat.

Mohamed berkata demikian semasa mengumumkan pemberian sumbangan berkenaan di Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Anifah Haji Aman di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Membakut, semalam.

Tambahnya, berpandukan empat teras utama iaitu Pembelajaran, Komuniti, Sukan dan Alam Sekitar, Astro Kasih berjaya melaksanakan lebih 1,200 projek amal yang dijayakan oleh 4,000 kakitangannya di seluruh negara.

Jelasnya, di bawah teras pembelajaran, dua buah Hostel (Asrama) Astro telah dibina di Sabah iaitu di SK Magandai, Kota Marudu dan SK Malinsau, Ranau.

“Hostel Astro ini telah memberi kemudahan serba lengkap dan selesa kepada murid-murid di pedalaman Sabah yang tinggal jauh dari sekolah dan lebih membanggakan kemudahan ini mendorong pencapaian cemerlang para pelajar pada keputusan UPSR lalu.

“Astro Kasih turut berjaya menempatkan seramai 14 orang anak Sabah berumur 10 hingga 12 tahun bagi menjalani latihan intensif badminton di Tokyo dan latihan bola sepak di Eropah melalui teras sukan dan turut mencipta rekod dunia dalam pembersihan dasar laut terpanjang selama 168 jam tanpa henti dengan membuat 1,120 selaman di 224 lokasi di Taman Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Anifah Haji Aman meluahkan rasa terima kasih atas sumbangan yang diberikan selain turut meraikan Aidilfitri bersama-sama 2,500 insan istimewa kalangan anak yatim, warga emas, fakir miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Anifah turut berbangga dengan pencapaian program yang telah dilaksanakan Astro Kasih terhadap keprihatinan tanggungjawab sosial seiring dengan perkembangan teknologinya.

Beliau berharap Astro Kasih dapat mempertimbangkan untuk mengadakan program seumpamanya di Parlimen Kimanis ini setiap tahun.

SF

Tinggalkan komen anda