Skip to main content
Berita SarawakBerita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Kehadiran Ayah Buat Semangat Saya Berkobar-kobar – Raja Pecut

By 28 Julai 2016Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto:  Redzuan Md. Salleh (Putrajaya)

KUCHING, 28 Jul (Malaysiaaktif) – “Saya tidak penat dan masih bersemangat, lagi-lagi dengan kehadiran ayah saya. Maka semangat saya semakin berkobar-kobar untuk beraksi dalam acara 200 meter akhir esok.”

Demikian kata ‘Raja Pecut’, Khairul Hafiz Jantan, 18, yang ditemui selepas sesi penyampaian hadiah 4×100 meter akhir Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII yang berlangsung di Stadium Sarawak, di sini petang tadi.

“Impian saya nak banggakan ibu bapa. Insya-Allah, ayah akan terus berada di sini jika dapat membuat pertukaran tiket penerbangan saat akhir. Selagi saya boleh buat yang terbaik, saya akan cuba untuk tolong keluarga dan adik-beradik,” kata Khairul Hafiz yang merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradik.

Sementara itu, ayahnya, Jantan Ramli, yang ditemui tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada jurulatih dan para guru yang banyak menyumbang kepada kejayaan anaknya seperti hari ini.

“Perasaan saya sebagai seorang ayah, saya amat gembira dan bersyukur kepada Tuhan. Hasrat Hafiz adalah untuk menjadi pelari pecut yang terbaik. Jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada jurulatih dan para guru anak saya,” ujarnya.

KH3

Ayah Khairul Hafiz, Jantan Ramli ditemui pemberita sejurus selepas kemenangan anaknya, petang tadi. / Foto: Syed Fauzi Syd Mostapa

Jantan yang merupakan seorang pengawal keselamatan juga tidak menafikan bahawa sukan bukan asing bagi keluarganya.

“Sukan bukan benda yang asing bagi keluarga kami. Semua ahli sukan, wakil SUKMA pun ada. Ini memang keturunan kami. Hafiz sendiri sejak darjah enam dah jadi olahragawan sekolah sehinggalah masuk ke Sekolah Sukan Bandar Penawar,” jelasnya.

Pada hari ketiga acara balapan yang dipertandingkan hari ini, Khairul Hafiz cemerlang dengan dua lagi rekod SUKMA.

Atlet Melaka itu, cemerlang pada separuh akhir pertama 200 meter dengan catatan 21.14 saat memadamkan rekod SUKMA yang telah berusia 14 tahun, 21.33 saat milik pelari Terengganu Nazmizan Mohamed.

Rakan sepasukannya, Badrul Hisyam Abdul Manap yang beraksi pada separuh akhir kedua turut cemerlang dengan catatan 21.31 saat. Mereka berdua antara pelari yang layak beraksi untuk acara 200 meter akhir yang bakal berlangsung 9.30 pagi esok.

Tambah Khairul Hafiz, jika saingan sengit esok pastinya dia akan berjaya mencatatkan masa yang lebih baik.

“Jika ada saingan daripada Badrul dan John (pelari Sarawak), baru boleh pergi lebih laju untuk mencatatkan masa lebih baik. Tapi itu bukan fokus saya, yang penting ialah teknik larian saya perlu betul. Kalau betul ikut cakap jurulatih dan doa ibu bapa, insya-Allah ada peluang untuk pecah rekod,” ujar Hafiz lagi.

KH5

Kuartet 4×100 meter Melaka memecah rekod Sukma, 41.04 saat dengan catatan masa, 39.89 saat.  / Foto: Redzuan Md. Salleh

Rekod kedua pula dilebur bersama oleh kuartet 4x100m Melaka yang terdiri daripada Khairul Hafiz, Badrul Hisyam, Mohammad Azam Masri dan Asmawi Hisham dengan mencatatkan 39.89 saat sekali gus memadamkan rekod SUKMA, 41.04 saat.

Pingat perak dimenangi oleh kuartet Sarawak dengan catatan 41.14 saat sementara gangsa dimenangi oleh kuartet Perak dengan catatan 41.94 saat.

Sementara itu menurut jurulatih Melaka, Mohd Poad Mat Kassim, sebenarnya pelari Melaka ini telah lama di bawah jagaannya.

“Ada yang mula dengan saya sejak berusia 10 tahun. Ramuan kejayaan mereka ini ialah berdisiplin, hormat orang tua, tak tinggal solat dan latihan yang berterusan.

KH4

Mohd Poad (tengah) bersama kuartet 4×100 meter Melaka. / Foto: Redzuan Md. Salleh

“Khairul Hafiz, misalnya, ketika terbuka Filipina telah menunjukkan satu prestasi sangat baik dan sejurus pulang terus bersemangat untuk mengatasi Badrul sendiri. Setelah ke Jerman dan Poland, banyak kesan positif dilihat.

“Dulu tekanan tinggi oleh sebab bersaing di peringkat antarabangsa. Kini di SUKMA, kurang tekanan dirasakan oleh sebab itu mereka cemerlang.

“Untuk pelari pecut, yang penting ialah masa latihan. Ini yang membantu mereka untuk berjaya. Kita cuba bantu dia punya pecutan, memang kita perlukan beberapa alat untuk memantapkan larian mereka,” tambah Poad.

Menyentuh berkenaan kegagalan kuartet Melaka memecahkan rekod kebangsaan, Poad berpendapat kekangan masa untuk berlatih menjadi punca.

“Cara penghantaran baton ada sedikit masalah. Ada sedikit masalah terjadi antara pelari pertama dan kedua, ketiga dan keempat. Balik dari Poland pada 23 Julai, kemudian, 24 Julai baru kita dapat satukan mereka berempat. Jadi mungkin itu puncanya,” jelas Poad.

Dalam pada itu, Poad juga berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan anak buahnya itu untuk memecahkan rekod 200 meter yang masih dipegang oleh Tan Sri Dr. Jegathesan Manikavasagam sejak 1968 yang mencatatkan 20.92 saat di Sukan Olimpik Mexico.

“Kita doakan rekod M. Jegathesan untuk 200 meter dapat dipadam. Memang berdasarkan prestasi semasa Khairul Hafiz, rekod itu boleh dipecahkan. Cuma bergantung kepada situasi semasa pertandingan itu berlangsung.

“Saingan tadi pun, kebanyakan atlet mencatatkan 21.3 saat hingga 21.6 saat. Jadi persaingan itu tidak begitu mencabar. Tapi saya akan minta Hafiz untuk terus fokus agar dapat berlari seperti 100 meter semalam dalam keadaan tenang,” ujar Poad lagi.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda