Skip to main content
Home

TPM Serah Sumbangan Raya kepada 73 Anak Yatim

By 28 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad (Kuching) / Foto: Shim Choon

KUCHING, 28 Jul (Malaysiaktif) – Seramai 73 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Murni (PKPNM) Negeri Sarawak hari ini menerima duit raya yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu Majlis Ramah Tamah Aidilfitri.

Majlis anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sarawak itu bertempat di Dewan Kompleks Islam Kuching, Sarawak dihadiri anak-anak yatim yang berumur dalam lingkungan tiga tahun hingga 17 tahun.

Salah seorang penerima sumbangan yang ditemui, Nurul AnisiĂ h Abdul Rahim, 17, berkata dia amat gembira dan bersyukur apabila menerima jemputan tersebut.

“Duit raya ini saya akan gunakan untuk membeli pekakas sekolah dan selebihnya untuk disimpan. Saya berharap majlis seperti ini dapat diteruskan untuk membantu masyarakat yang sangat memerlukan seperti kami,” ujar Nurul Anisiah.

Menurut Pengurus PKPNM, Aini Aman, 50, dia turut gembira apabila pertubuhan tersebut menerima jemputan untuk menghadiri majlis tersebut.

“Saya rasa bersyukur kerana anak-anak di bawah jagaan PKPNM menerima duit raya di samping dapat menikmati segala juadah yang ada,” ujarnya.

Tambahnya, PKPNM yang telah diluluskan permohonan pada 13 Januari 2011 di bawah akta Pertubuhan 1966 ini mendapat sokongan padu daripada Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Negeri Sarawak, Datuk Hajah Fatimah Abdullah.

“Selain bertujuan untuk membuat kerja-kerja amal dan perkhidmatan, PKPNM ditubuhkan untuk membantu memastikan keperluan kebajikan dan pendidikan golongan asnaf zakat dapat dipenuhi.

“Anak-anak yang di bawah jagaan kami ini terdiri daripada pelbagai kategori termasuk keluarga yang daif, keluarga yang bermasalah, anak-anak terbiar oleh ibu bapa, golongan asnaf zakat, fakir miskin, anak yatim, mualaf, warga emas, dan remaja harapan,” jelas Aini.

Menurutnya lagi, seramai 117 orang anak-anak di bawah jagaan PKPNM berasal dari Kuching dan tinggal di enam buah rumah yang diwakafkan sebagai asrama di sekitar bandar Kuching.

Seramai 30 orang sukarelawan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) menjaga kebajikan penghuni PKPNM sepenuh masa secara bergilir-gilir.
-DZ

Tinggalkan komen anda