
Oleh : Norfarhana Mohd Zainal Abidin dan Seri Ayu Wardiah Samsudin (Petaling Jaya)
PETALING JAYA, 28 Julai (Malaysiaaktif) – Adalah menjadi tanggungjawab pemunya premis untuk melantik firma dan juga orang yang kompeten yang diiktiraf oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas eskalator.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Pengarah JKKP Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, Datuk Ir. Mohtar bin Musri ketika berucap merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Penggunaan Eskalator Peringkat Negeri Selangor bertempat di pusat membeli-belah Sunway Pyramid hari ini.
“Selain itu, pihak pemunya premis hendaklah memastikan setiap eskalator yang dipasang di premis mereka diselenggara mengikut jadual penyelenggaran yang ditetapkan dan memastikan ianya sentiasa beroperasi dalam keadaan yang baik tanpa risiko kepada keselamatan para pengguna”, ujar beliau.
Beliau turut menasihati para pengguna supaya lebih berhati-hati dan berwaspada semasa menggunakan eskalator termasuk mengawasi anak-anak yang dibawa bersama serta mematuhi setiap arahan dan tatacara penggunaan yang disediakan oleh pihak berkuasa dan kompleks membeli belah.
Program anjuran JKKP ini turut melibatkan kerjasama dengan Persatuan Lif dan Eskalator Malaysia (MALEA) dan pusat membeli belah Sunway Pyramid.
-DK