Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

‘Khairul Dengar Nasihat Saya….’ – Cikgu Mustafa

By 28 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 28 Jul (Malaysiaaktif) – “Saya nasihatkan Khairul supaya tidak merokok jika ingin menjadi atlet olahraga kerana beliau mempunyai stamina yang tinggi berbeza dengan pelajar lain seusia dengannya”

Demikian kata Mustafa Mohd Noor, guru olahraga kepada pelari Melaka, Khairul Hafiz Jantan yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan milik Watson Nyambek dalam acara pecut 100m Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII dengan catatan 10.18 semalam.

Tambahnya, potensi pelari berusia 18 tahun itu dikesan seawal tingkatan satu sewaktu beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Ayer Keroh ketika melihat Khairul berlatih bola sepak bersama pelajar lain.

“Khairul menjaga bahagian pertahanan dalam pasukan bola sepak sekolah dan beliau mampu berlari ke sekeliling padang tanpa rasa penat walaupun rakan sepasukannya sudah keletihan,” katanya.

669974a7-15bb-4f80-bcee-18e8c3e06caf

Potensi Khairul sebagai atlet terserlah sejak dari sekolah lagi…

 

Menurutnya lagi, ketika rakan beliau yang juga guru olahraga di sebuah sekolah sukan di Melaka ini berminat untuk melatih Khairul dan menawarkan beliau untuk bertukar sekolah, Mustafa berasa berat hati kerana bakal kehilangan pelajar yang sentiasa memberikan pingat emas dalam sukan sekolah.

“Tapi memikirkan masa depan Khairul, juga peluangnya yang cerah untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti jika bersekolah di sekolah sukan, maka saya sendiri memujuknya untuk bertukar sekolah.”

“Saya yakin dengan prestasi yang dia tunjuk sekarang, dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, dia mampu mencipta nama sebagai pelari terpantas Asia jika dia sentiasa fokus dengan lariannya,” ujarnya.

Menurut seorang lagi guru olahraga Khairul, Robert Tee, Khairul dipilih mengikuti olahraga sewaktu di tingkatan tiga, walaupun beliau sering menjadi johan ketika itu namun corak lariannya masih perlukan bimbingan.

“Kami sebenarnya merupakan guru akademik dan masa kami sangat terhad untuk membimbing Khairul dalam olahraga, justeru keputusan untuk bertukar sekolah merupakan keputusan yang baik untuk masa depan dia dalam bidang ini,” ujarnya kepada Malaysiaaktif ketika ditemui di sekolah tadi.

Manakala menurut guru pendidikan jasmani, Irwan Buhari, personaliti Khairul yang sentiasa ceria dan beradab dengan guru membuatkan dia popular sewaktu di sekolah.

“Kami masih lagi berhubung dengan dia dan sentiasa teruja mengikuti perkembangan Khairul dalam olahraga, dan saya pasti beliau boleh memecahkan rekod sendiri selepas ini,”katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron memaklumkan kepada pemberita, kerajaan negeri berbesar hati untuk memberikan insentif kepada atlet yang berjaya meraih emas sebanyak RM5,000.

Tambahan wang saguhati itu diharapkan dapat menyuntik semangat para atlet untuk beraksi lebih hebat pada temasya kali ini.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda