Skip to main content
Berita TempatanKelantan

Pejabat Pertanian Tanah Merah Perintis Pejabat Hijau

By 28 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh : Siti Rawaida Mohd Nor (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 28 Julai (Malaysiaaktif) –  Melangkah masuk ke perkarangan Pejabat Pertanian Daerah Tanah Merah ini pasti teruja melihat sayur-sayuran yang segar dan ditanam secara fertigasi dihalaman pejabat ini.

Tanaman fertigasi seperti tomato, cili merah, kangkung, terung dan juga pokok hiasan bermula pada tahun 2015 diusahakan oleh Pegawai Pertanian Jajahan Tanah Merah, Mohd Nazmin Ismail, dan turut dibantu seramai lima belas kakitangan jabatan tersebut.

Pokok tomato yang ditanam menggunakan teknik fertigasi gantung

Pokok tomato yang ditanam menggunakan teknik fertigasi gantung

Menurut Mohd Nazmin, projek fertigasi ini tercetus melalui saranan Menteri Pertanian untuk menggalakkan orang ramai bercucuk tanam walaupun halaman rumah terhad dan menghijaukan kawasan rumah.

“Konsep yang dilaksanakan oleh pejabat ini sangat baik sekiranya ianya dapat dikongsi, selain dapat menjadikan persekitaran yang lebih hijau dan sihat ianya juga boleh membantu isi rumah dalam menjimatkan kos sara hidup,” katanya kepada Malaysiaaktif.

Menurut beliau lagi, hasil daripada tanaman tersebut ada yang dijual dan ada juga diberikan kepada kakitangan dan pejabat berdekatan, contohnya seperti tanaman buah tomato yang mana hasilnya dikutip setiap dua kali seminggu dan sebulan hasil buah tomato tersebut pernah mencecah sehingga 120 kilogram hasil daripada  81 batang pokok tomato yang ditanam diatas tanah berkeluasan 10′ x 70′ kaki persegi.

Sementara itu, pegawai projek fertigasi, Penolong Pegawai Pertanian Regulatori dan Kejenteraan, Hashim Zakaria  berkata,  pejabat  ini turut menyediakan khidmat nasihat, latihan dan kelengkapan untuk tujuan tersebut kepada orang ramai.

“Pada tahun 2015, sebanyak empat buah sekolah telah melaksanakannya dan enam kawasan perumahan dengan perbelanjaan sebanyak RM50,000. Untuk tahun 2016 projek ini telah dilaksanakan di dua buah sekolah, tiga kawasan perumahan dan peruntukan yang disalurkan untuk menjayakan projek tersebut adalah sebanyak RM15,500,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Jabatan Pertanian sangatlah berbesar hati kepada sesiapa yang berminat untuk mengetahui cara penanaman fertigasi di rumah, pejabat ataupun mana-mana tempat yang dirasakan sesuai, kerana ianya tidak memerlukan kawasan yang luas seperti konsep penanaman cara lama yang biasa dipratikkan sebelum ini.

 

-SH

Tinggalkan komen anda