
Oleh : Mohd Noor Mahmuddin / Foto: Pejabat Penerangan Daerah Jeli (Jeli)
JELI, 15 Julai (Malaysiaaktif) – Penduduk Kampung Dendong dan sekitar kawasan Batu Melintang di sini, kini boleh menarik nafas lega selepas operasi memindahkan gajah jantan liar yang ditangkap di kawasan kebun penduduk Kampung Dendong dilakukan pagi semalam.
Hasil kecekapan masing-masing lapan anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang serta kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, dibantu dua gajah denak tempatan, Abot dan Rambai, gajah jantan itu berjaya dikeluarkan ke kawasan kebun sejauh kira-kira 500 meter.
Operasi memindahkan gajah itu mengambil masa kira-kira dua jam sebelum dibawa menggunakan lori khas ke pusat pelindungan gajah di Taman Negara.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohammad Khairi Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan minggu lepas daripada orang ramai dan hasil siasatan awal kakitangan Perhilitan terdapat seekor gajah yang telah memusnahkan kawasan tanaman penduduk dan pihaknya telah melakukan operasi tangkapan pada Sabtu lalu.
Pihak Perhilitan Jeli telah berjaya menangkap seekor gajah jantan bersaiz tapak lebih kurang 13 inci dikawasan belukar Kampung Dendong, Batu Melintang. Operasi pemindahan berjaya dilakukan semalam tanpa sebarang masalah.
Sementara itu , Ramli Idris, 60, penduduk Kampung Dendong berkata, tindakan Perhilitan menangkap dan memindahkan ‘ketua’ kawanan gajah itu diharap dapat mengurangkan ancaman gajah liar ke atas kebun penduduk.
Menurutnya, ancaman itu tetap akan berlaku kerana masih terdapat dua hingga tiga kumpulan gajah sekitar kawasan tersebut.
“Dua hari lepas, masih terdapat serangan gajah liar yang telah memusnahkan kawasan tanaman berdekatan rumah penduduk. Kita akan sentiasa memberi kerjasama kepada Jabatan Perhilitan termasuk membuat aduan jika serangan gajah ini berulang,” katanya.
-SH