
Oleh: Yahya Abdul Rajak & Azman Jumat (Sabah)
PUTATAN, 22 Julai (Malaysiaktif) –? Mangsa Kebakaran Kampung Ketiau yang kini ditempatkan di Pusat Perpindahan sementara di Dewan Serbaguna kampung terbabit mendapat perhatian dan sumbangan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cawangan Putatan pada Selasa.
Seramai lapan orang wakil PBSM menghantar bantuan sumbangan tersebut. Menurut Pengerusi PBSM cawangan Putatan Puan Hajah Nanih Abah, bantuan yang disampaikan berbentuk barangan keperluan asas seperti berus gigi, pampers, tuala wanita, sabun mandi dan sebagainya yang dianggarkan melebihi RM1,000.00.
Persatuan terbabit terpanggil menghulurkan bantuan setelah melihat sendiri keadaan mangsa yang amat memerlukan perhatian serius sama ada dari segi sokongan moral kerana mangsa yang masih trauma dengan kejadian tersebut.
Kejadian kebakaran yang disedari pada 12.05 tengah hari, Isnin lalu tersebut telah memusnahkan sebanyak 12 buah rumah, lima buah kenderaan dan dua buah motosikal yang melibatkan 12 buah keluarga.
Setiausaha JKKK Kampung Ketiau, Norhady Hj.Matusin memaklumkan setakat ini seramai enam keluarga yang masih berada di dewan terbabit iaitu seramai 25 orang dewasa, 12 remaja dan 10 kanak-kanak termasuk bayi berumur lingkungan 4 bulan. Manakala selebihnya telah berpindah ke rumah ahli keluarga terdekat.
Tambahnya, setakat ini kesemua mangsa masih trauma dan masih tercari-cari alternatif terbaik memulihkan kehidupan mereka berikutan kebanyakan mangsa tidak mempunyai sanak-saudara terdekat untuk menumpang.
Mangsa, Adanan Juanah, 34, berkata dia yang hanya bekerja sebagai peniaga makanan di sekitar tamu di daerah berkenaan masih buntu mencari penyelesaian berikutan kejadian ini, ditambah lagi segala peralatan perubatan anak ketiganya yang menghidap asma turut musnah.
Adanan menceritakan dia menyedari kebakaran terbabit apabila mendengar dua letupan disusuli dengan teriakan orang awam berkenaan kebakaran tersebut.
Akibat terlalu buntu dia hanya dapat menyelamatkan tiga daripada lima orang anaknya ketika itu sedang tidur selain sebuah kenderaan dan sedikit dokumen penting.
Pihak PBSM, Cawangan Putatan menyatakan akan terus membantu keluarga berkenaan terutama memastikan segala bantuan perubatan terhadap anaknya Adib Aiman Shah Adanan, 4, diberikan perhatian serius.
SF