Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tubuh Pusat Transit Kembangkan Kemahiran Peserta CCRC-Jainab

By 22 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh: Zuraidah Ahmad (Sabah)

PAPAR, 22 Julai (Malaysiaktif) –? Sebuah pusat transit dibina untuk mengembangkan kemahiran dan potensi bidang keusahawanan dalam kalangan peserta Cure and Care Rehabilitation Center (CCRC).

Demikian cadangan Naib Yang DiPertua PEMADAM Kebangsaan Datuk Jainab Ahmad Ayid ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri CCRC dan Klinik C&C 1Malaysia Papar di sini, pada Selasa.

Jainab yang juga Pengerusi PEMADAM Sabah, berkata pusat itu mampu direalisasikan menerusi kerjasama NBOS antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, di samping berupaya melahirkan usahawan yang berjaya mengeluarkan golongan bekas penagih daripada kancah kemiskinan belia dan gejala sosial.

“Bangunan pusat transit ini akan dibina berhampiran CCRC dan kita telah meminta Pengarah CCRC berbincang dengan Pegawai Daerah jika ada tempat di bawah tanah kerajaan atau Pejabat Daerah. Jika sudah ada tanah, kita akan cari peruntukan untuk membuat bangunan.

“Kursus kemahiran sudah ada di mana-mana jabatan, di KPMHEP, Kementerian Sumber dan ICT dan Kemeterian KPLB, jadi kita hanya bawa kursus itu ke pusat transit secara menyeluruh.

“Kita tidak mengenakan had umur untuk peserta kursus, yang penting ialah kemahuan pelatih itu sendiri. Sebaliknya, mereka akan dikumpulkan dalam gred mengikut tahap kemahiran pelatih untuk memastikan mereka mahir dalam bidang keusahawanan.

“Contoh paling mudah, mungkin klien CCRC tahu membuat bakul tetapi tidak nampak bakul itu secara ‘finishing point’ untuk dipasarkan di gedung atau pasar-pasar raya.

“Antara bidang keusahawanan yang mendapat sambutan kini ialah kimpalan atau landskap, pramusaji dan salon kecantikan yang mana tenaga mereka ini akan diperlukan di pasaran.

“Jadi, menerusi pusat ini kita bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah kemiskinan dalam kalangan belia tetapi membawa mereka keluar jauh daripada gejala sosial dadah,” ujar Jainab yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna.

Menurut beliau terdapat keperluan jelas untuk membina pusat transit berkenaan terutama dalam membantu usaha kerajaan menangani penagih berulang.

Malah, klien mengalami kejutan apabila dilepaskan secara terus kepada masyarakat, berbanding menyediakan pusat transit untuk mereka mengembangkan kemahiran.

“Ini kerana tindakan melepaskan mereka terus kepada masyarakat sejurus selepas keluar daripada pusat rawatan ibarat mengajar seseorang berenang dan terus dihumban ke dalam laut. ccrc 1

“Jadi mereka ini mengalami kejutan apatah lagi sentimen masyarakat terhadap mereka tidak selalu positif. Kesannya, mereka akan mula bergaul tidak menentu dan kembali semula ke CCRC ini.

“Kita juga melihat usaha ini kurang menyeluruh kerana kita hanya menyediakan seolah-olah A hingga C sahaja, D hingga Z tidak diteruskan secara holistik,” tambahnya.

Dalam ucapannya, beliau tidak menafikan kerajaan menghadapi banyak cabaran yang kompleks untuk memerangi musuh nombor satu negara disebabkan keupayaan pengedarnya.

Selain sering dijadikan transit, Malaysia juga dikatakan menjadi makmal pengeluar dadah sintetik oleh golongan belia yang dihimpit masalah kewangan, penganguran dan kurangnya pemantauan ibu bapa.

Justeru, beliau menyeru masyarakat serta ahli keluarga agar memainkan peranan penting untuk meyakinkan golongan ini agar mereka rasa selamat, disayangi dan diterima.

Sementara itu, Pengarah CCRC, Tugiman Kayun berkata pusat itu menyediakan lima kursus utama kepada 319 klien iaitu kimpalan atau landskap, jahitan, perladangan, masakan dan kek dan salon kecantikan.

Mereka yang tamat kursus akan memperoleh Sijil Kemahiran (SKM 1) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemahiran Malaysia dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Sumber Manusia dan Pusat Giat MARA.

SF

Tinggalkan komen anda