Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kes Samun, Tembak Polis Buru Tiga Suspek

By 22 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Zuraidah Ahmad (Sabah) /Foto: IPD

KOTA KINABALU, 22 Julai (Malaysiaktif) –? Polis mempergiatkan usaha memburu tiga lagi suspek kes samun yang melepaskan tembakan di sebuah kedai barang lusuh di Jalan Tuaran, Menggatal, pada 3.15 petang Ahad lepas.

Suspek terdiri daripada Mohd Ruzleey Aliamat @ Ayie, 25, dan Ad Hasbullah Aminuddin @ Ter, 27, beralamat di Kg Simpangan, Tuaran serta Fairuz Sipin @ Apei, 27, dari Kg Sungai Damit Tuaran yang disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Menurut Ketua Polis Daerah, ACP M. Chandra berkata tiga suspek yang masih bebas itu dikenal pasti dan telah dimasukkan ke dalam senarai orang dikehendaki selepas tertangkapnya seorang rakan suspek, lelaki, 20, berbangsa Bajau dalam satu serbuan dibantu anggota penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran di Kg Simpangan Tuaran, pada 7.00 malam.

“Kita berjaya menahan serangan suspek yang merupakan seorang lelaki warganegara, 20, Bajau, beralamat di Kg Simpangan Tuaran dan positif dadah yang dipercayai bertindak sebagai pemandu dalam kes ini. Suspek direman sehingga 23 Julai ini untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal, kita dapati terdapat empat suspek terlibat dalam kes ini dan mereka telah menggunakan Myvi putih. Semasa kejadian, seorang pemandu berada di dalam kenderaan, sementara tiga lagi masuk ke dalam premis.

“Daripada tiga orang itu, dua bersenjatakan pisau sementara seorang bersenjatakan senapang yang dipercayai senapang angin berdasarkan bentuk luka dan bunyi tembakan yang didengar oleh saksi.

“Berdasarkan pengalaman, kita yakin suspek melepaskan tembakan hanya untuk menakut-nakutkan para pekerja yang ada di lokasi tetapi apabila tembakan terkena pada tangan kanan mangsa, seorang lelaki warganegara India, 41, mereka mungkin panik dan bergegas keluar dari premis itu.

“Pada kejadian itu, suspek yang dikatakan memakai topeng serta topi dan tidak dapat dicam oleh saksi-saksi di tempat tersebut juga sempat merampas sebuah telefon bimbit model i-Phone 5S milik seorang wanita, 21, berbangsa Rungus yang bekerja sebagai kerani di premis tersebut,” katanya dalam satu sidang media di IPD Kota Kinabalu, pada Selasa.

Bagaimanapun, mangsa yang cedera telah menjalani pembedahan dan rawatan di Hospital Likas dan kini dilaporkan stabil.

Mengulas lanjut, Chandra berkata Myi tersebut didaftarkan atas nama individu yang beralamat di Papar dan didapati tidak mempunyai kaitan langsung dengan jenayah terbabit.

Malah, pemilik asal itu telah membuat laporan poils di Kedah pada Isnin dan memaklumkan bahawa dia telah menjual kenderaan itu secara sambung pinjaman kepada keluarga suspek sejak 2010.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama daripada orang awam yang mengenali atau melihat suspek agar segera memaklumkan kepada Balai Polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Arif Abdul Razak 012 – 2753860.

SF

Tinggalkan komen anda