
Oleh: Asmidar Zainol & Mastim Kiriman (Sabah)
KOTA KINABALU, 22 Julai (Malaysiaktif) –? Seramai 526 orang guru yang berkelulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) dari Sabah yang tidak mendapat penempatan awal tahun lalu akan diselesaikan, Isnin ini.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Maimunah Suhaibul, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil satu langkah untuk membuat pertukaran secara besar-besaran pada Julai ini.
“Terdapat 300 guru yang berasal dari Semenanjung dan Sarawak telah mendapat surat kelulusan berpindah. Kekosongan ini akan diganti oleh guru-guru baharu yang turut mengisi 77 kekosongan sedia ada.
“Pada Jun lepas, sebanyak 248 guru telah mendapat penempatan dan selebihnya akan ditempatkan minggu hadapan.
“KPM juga telah melaksanakan temuduga pengambilan guru INTERIM bagi mengisi 500 kekosongan di sekolah-sekolah menengah seluruh negeri ini terutamanya bagi Daerah Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Pintas dan Kudat.
“Hanya warga Sabah yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sahaja yang layak memohon dan penilaian dibuat dari segi akademik, keterampilan sebagai seorang guru, pengetahuan am dan sebagainya,” jelasnya.
Tambah beliau, mereka yang layak akan mengajar pelbagai subjek tetapi penumpuan diberikan kepada subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Inggeris.
Maimunah turut mengingatkan kepada guru-guru baharu untuk tidak mengharapkan ditempatkan di daerah asal.
Ditanya berkenaan laporan audit, keadaan infrastruktur dan kemudahan fizikal yang berisiko tinggi mengakibatkan kemalangan seperti yang diarahkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini, Maimunah berkata Jabatan Pendidikan Negari Sabah sentiasa memantau dan meminta sekolah-sekolah untuk melaporkan tentang kerosakan dan mengadakan penyelenggaraan fasiliti terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Maimunah ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pendidikan Negeri Sabah 2016 di sini, semalam.
SF