Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pasti Ada Jalan – Mangsa Kebakaran

By 22 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Yahya Abdul Rajak, Zuraidah Ahmad & Azman Jumat (Sabah)

PUTATAN, SABAH, 21 Julai (Malaysiaktif) –? Raut wajahnya tenang, namun di benak fikiran mangsa kebakaran Adanan Juanah, 34, selalu memikirkan cara terbaik untuk meneruskan kehidupan mereka sekeluarga.

Ayah kepada lima anak ini hanya bergantung kepada hasil jualan makanan di Tamu Putatan dengan purata pendapatan bersih antara RM80 hingga RM100 sehari. Dengan hasil titik peluh itulah, dia menyara kehidupan isteri serta anak-anaknya.

Kebakaran yang memusnahkan 12 rumah di Kg Ketiau baru-baru ini, nyata membuat dirinya dihimpit resah dan kadang kala buntu. Apatah lagi memikirkan semua peralatan perniagaannya telah musnah sama sekali dijilat api.

Hati merintih bertambah pilu, bila saja memandang anak ketiganya,

Adib Aiman Shah, 4, yang sering mengalami sesak nafas dan memerlukan rawatan serta perhatian yang serius.

Mengaku panik mendengar dua letupan kuat dan jeritan jiran tetangga, dia hanya sempat menyelamatkan tiga orang anaknya yang ketika itu sedang tidur di ruang tamu, mujurlah dua orang lagi anak beliau sedang bersekolah ketika itu.

Adanan mengakui dalam suasana cemas tersebut dia hanya mampu membawa keluar dokumen penting dan salah sebuah kenderaan dengan segera.

“Pada masa itu, saya sedang berehat di ruang tamu sambil menjaga tiga orang anak saya yang sedang tidur, manakala isteri saya berada di pasar dan dua lagi anak masih berada di sekolah mereka.

“Dengan tiba-tiba sahaja saya mendengar dua dentuman kuat dan suara jiran-jiran yang menjerit-jerit mengatakan api kebakaran, api…api!

“Apabila saya keluar rumah, api sudah mula merebak dan pada waktu itu dua buah rumah jiran telah terbakar. Saya agak panik dan terus membawa lari ketiga-tiga anak saya keluar dari rumah sambil meminta bantuan penduduk kampung untuk menjaga anak saya yang berada di dalam kereta.

“Saya cuba bergegas kembali ke rumah untuk menyelamatkan apa yang dapat namun api terlalu cepat merebak. Keadaan ini menyebabkan saya hanya mampu menyelamatkan dokumen penting sahaja.

“Ya Allah, segalanya berlaku dengan begitu pantas, dan tidak pernah saya bayangkan. Dengan keadaaan tengah hari yang berangin itu menyebabkan api dari rumah jiran merebak dengan cepat.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat tuhan kerana nyawa kami semuanya selamat. Saya reda dengan dugaan ini, namun masih berfikir bagaimana untuk meneruskan kehidupan,” luahnya dengan mata yang bergenang.PBSM1

Menerima kunjungan serta bantuan yang dihulur Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Putatan, kelmarin, diketuai Pengerusinya, Nanih Abah serta ahli medik yang membuat pemeriksaan terhadap Adib Aiman, Adanan sangat bersyukur dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan.

Malah, mendengarkan kata semangat diberi ahli BSMM terlatih itu, Adanan kini mula percaya dan yakin pasti ada jalan terbuka untuk dia memulakan semula perniagaan menerusi ihsan daripada beberapa lagi badan bukan kerajaan dan individu-individu yang prihatin.

SF

 

Tinggalkan komen anda