Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

Piala Tertinggi Di Malaysia Cipta Rekod MBR

By 24 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Sharman a/l Subramaniam (Kuala Selangor)

KUALA SELANGOR, 24 Julai (Malaysiaaktif) – Persatuan Sinergi Malaysia mencipta rekod dalam Malaysian Book of Records (MBR) setelah membina replika piala tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 4.8 meter dan anggaran kos sebanyak RM 10,000.

Piala tersebut yang dinamakan ‘Piala Sinergi’ mengambil masa lebih kurang 45 hari bagi merangka dan dibina sepenuhnya. Bagi peringkat awal, pelancarannya dibuat di Padang Orang Ramai, Bestari Jaya, hari ini.

b174b52e-1263-4fcc-a73d-67ebe581e133

 

Pemasangan Piala Sinergi yang terbahagi kepada tiga bahagian mengambil masa selama sejam dengan bantuan tenaga lima individu. Piala ini diperbuat daripada logam, termasuk besi, aluminium serta akrilik.

Menurut Pengerusi Persatuan Sinergi Malaysia, Sugumaran Arumugam, piala tersebut akan mewakili semua sukan dan permainan di Malaysia.

“Persatuan Sinergi Malaysia telah genap 75 hari pertubuhannya dengan keahlian sebanyak 35 orang telah berjaya merangka struktur piala tersebut”, kata beliau.

Menurutnya lagi, ketinggian Piala Sinergi ini mencecah hampir separuh daripada ketinggian piala tertinggi di dunia yang direkodkan dalam Guinness World of Records pada tahun lepas di India.

“Piala ini seterusnya akan dibawa mengelilingi satu Malaysia untuk dipamerkan kepada seluruh rakyat Malaysia”, tambah beliau.

Majlis Perasmian Piala Sinergi disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P.Kamalanathan seiring Pertandingan Tendangan Penalti yang juga anjuran Persatuan Sinergi.

Beliau berbangga dengan pencapaian persatuan tersebut yang berjaya membina piala tertinggi dan menyarankan supaya piala tersebut dibawa ke sekolah-sekolah seluruh Malaysia berserta pengisian aktiviti, seperti tendangan penalti yang diadakan hari ini.

Beliau juga akan memberi sokongan penuh bagi membantu persatuan ini dalam misi pameran piala ke seluruh Malaysia.

Turut hadir, bekas pemain bola sepak negara, Datuk Santokh Singh.

Persatuan ini merupakan sebuah inisiatif bagi mengeratkan dan mengukuhkan hubungan serta persefahaman dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ia ditubuhkan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) oleh seorang pengusaha rangkaian restoran India-Muslim, Datuk Jahawar Ali.

 

-DK/AAS

Tinggalkan komen anda