Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Pondok Bas Usang, Membahayakan Keselamatan Pengguna

By 2 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Muhd Shariffudin bin Abd Razak (Manjung)

SITIAWAN, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Menyedihkan, membahayakan dan menyukarkan. Itulah gambaran yang boleh diberikan kepada beberapa buah pondok bas di Kampung Batu 10 Lekir, Sitiawan ketika ini.

Terdapat lebih kurang sepuluh buah pondok bas yang memerlukan perhatian segera daripada pihak berwajib bagi membaik pulih atau menaiktaraf setiap pondok bas tersebut demi menjaga keselamatan dan keselesaan pengguna. Lebih menyedihkan terdapat pondok bas yang sedang menunggu masa untuk rebah menyembah bumi kerana tidak dibaiki dan diselenggara dengan baik.

Rata-rata penduduk setempat yang ditemui meluahkan rasa kecewa dengan perkara ini. Mereka mengharapkan pihak yang berkenaan segera mengambil tindakan untuk membaik pulih atau menaik taraf pondok bas yang sedia ada bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna serta mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

PB4

Antara pondok bas yang membahayakan pengguna di Lekir.

PB1

Pondok bas ini kehilangan sebahagian daripada atapnya.

 

Menurut Ketua Kampung Batu 10 Lekir, Ramli Busu, perkara tersebut telah dipanjangkan kepada pihak berwajib termasuk sebulan yang lalu, namun sehingga kini masih tiada tindakan yang diambil.

Manakala, Penghulu Mukim Lekir, Syed Abd Hanif Sayed Abdul Hamid, yang ditemui di pejabatnya berkata: “Pihak yang berwajib telah turun padang dan melihat sendiri keadaan pondok bas terbabit, namun sehingga kini, masih tiada lagi tindakan susulan yang diambil oleh pihak tersebut.”

penghulu mukim lekir SYED ABDUL HANIF BIN SAYED ABD HAMID

Penghulu Mukim Lekir, Syed Abd Hanif Sayed Abdul Hamid

 

Seorang penduduk setempat yang ditemui, Suhaida Ahmad, 32, turut meluahkan rasa kesal dengan keadaan pondok bas di kawasan Lekir ini.

“Sepatutnya, pondok bas ini menjadi sebuah pondok yang selesa dan selamat serta memudahkan penduduk kampung menggunakannya. Ini tidak. Pondok bas yang ada semuanya dalam keadaan yang menyedihkan. Pondok bas semua ini perlu dinaik taraf supaya seiring dengan kemajuan yang ada, bukan masih menggunakan pondok bas yang lama dan usang.

“Saya berharap pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah ini sebelum pondok-pondok bas yang ada runtuh dan membahayakan pengguna,” tegas Suhaida.

Menurut Ketua Penolong Pegawai Daerah Manjung, Bahagian Pembangunan Luar Bandar (PLB), Syamsul Hazeman Md. Salleh, belum ada laporan bertulis secara rasmi yang diterima oleh pihaknya mengenai perkara ini.

“Kami mempunyai rekod aduan. Jadi, sekiranya ada aduan yang masuk, pasti kami akan tahu mengenainya. Mengenai kes pondok bas ini, saya hanya dengar hearsay, ada orang yang menyampaikan macam itu sahaja. Saya boleh semak semula, tetapi, yang pasti, tiada laporan bertulis yang sampai ke saya,” katanya.

Tambah Shamsul, pihak PLB tidak mempunyai semua rekod pondok bas yang dibina di terdapat di sekitar daerah Manjung ini kerana dibuat oleh beberapa pihak yang berbeza.

“Kalau pondok bas yang dibuat pada masa sekarang ini, memang pihak PLB ada rekod. Tetapi, untuk pondok-pondok bas yang lama, kami pun tidak pasti sama ada rekod itu ada dengan JKR (Jabatan Kerja Raya) ataupun MPM (Majlis Perbandaran Manjung) semasa pondok bas ada di bawah pengawasan mereka.

Shamsul

Ketua Penolong Pegawai Daerah Manjung, PLB, Syamsul Hazeman Md. Salleh

 

“Pondok bas tiada reka bentuk yang standard dan ia sentiasa berubah-ubah. Kalau JKR, mereka akan mengikut pelan mereka. Kalau PLB, seperti di Ayer Tawar, ia mempunyai tembok batu mengikut spesifikasi PLB. Kalau MPM pula, akan menggunakan tiang besi,” ujar Syamsul ketika dihubungi Malaysiaaktif petang tadi.

Menurutnya lagi, penaiktarafan pondok bas boleh dipertimbangkan cuma kena melalui saluran yang betul.

“Boleh dibuat perancangan semula. Kalau ada permohonan secara rasmi kepada kami, senanglah untuk kami membuat kerja kerana kami perlu ada sumber awal macam mana laporan masuk dan permohonan dibuat.

“Oleh sebab terdapat beberapa perubahan dalam pihak yang menguruskan pondok bas ini, terdapat beberapa pondok bas yang kini tidak diketahui rekodnya. Tapi, jangan risau. Kami akan menghantar pegawai untuk melihat sendiri pondok-pondok bas tersebut.

“Sekiranya, pondok itu ada keperluan dan tidak bertuan, tidak ada masalah. PLB memang akan ambil benda yang tidak bertuan ini. Kami akan cuba untuk mohon daripada peruntukan negeri,” jelas Syamsul.

 

-DZ

 

Tinggalkan komen anda