Skip to main content
Berita TempatanSabah

Rakyat Digesa Kibar Jalur Gemilang -Hajiji

By 29 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Asmidar Zainol, Johnny Joklis & Vicky Sylvester Matanjang (Sabah)

KOTA KINABALU, 29 Jul (Malaysiaktif) –? Rakyat di seluruh negara khususnya di Sabah digesa agar mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah, premis perniagaan, bangunan pentadbiran kerajaan dan orang perseorangan bagi sama-sama menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara 2016.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2016, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Sabah terpilih sebagai tuan rumah pelancaran sambutan Hari Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 2016, menggantikan Sarawak yang telah menjadi urus setia pada tahun lalu.

“Kita berharap semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang perlu berkorban sedikit untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman atau bangunan atau premis masing-masing untuk memegahkan Sambutan Hari Kebangsaan negara kita.

“Mengekalkan tema Malaysia #sehatisejiwa, akan dilancarkan di Dataran Majlis Perbandaran Tawau pada 6 Ogos 2016 (Sabtu) yang akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi,” jelasnya pada sidang media Sambutan Hari Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sabah di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

“Pelbagai pengisian menarik sepanjang bulan kebangsaan ini antaranya seperti Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pertandingan Video Pendek, Pertandingan Foto Merdeka, Pertandingan Selfie Merdeka untuk pelajar sekolah, Anugerah Keceriaan Bulan Kebangsaan, Program Patriotisme dan kayuhan Hari Kebangsaan.

Tambahnya, sambutan peringkat negeri akan bermula pada 25 Ogos dengan pameran oleh Jabatan Arkib Negeri selama lima hari di pusat beli-belah, Suria Sabah dan majlis tahlil dan doa selamat di Masjid Negeri akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama, Yang di Pertua Negeri Sabah pada 29 Ogos.

Pada 31 Ogos, perbarisan kemerdekaan peringkat Negeri akan berlangsung di Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu yang akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama, Yang di Pertua Negeri Sabah serta pembesar-pembesar negeri.

Perbarisan kontinjen dan perarakan kenderaan akan melibatkan pasukan beruniform, jabatan dan agensi kerajaan dengan anggaran lebih 300 penyertaan kontinjen tahun ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Yunus Hj Saprin berkata, pelbagai program dirancang sepanjang bulan kebangsaan tersebut yang menawarkan hadiah wang tunai kepada setiap penyertaan bagi Pertandingan Video Pendek, Pertandingan Foto Merdeka, Pertandingan Selfie Merdeka (pelajar sekolah) dan Anugerah Keceriaan Bulan Kebangsaan.

SF

Tinggalkan komen anda