Skip to main content
Berita TempatanSabah

IPG Kampus Kent Lancar Kurikulum P3K

By 29 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Asmidar Zainol & IPG Kampus Kent (Sabah)

TUARAN, 29 Jul (Malaysiaktif) –? Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent melancarkan Penggiat Kebudayaan, Kebahasaan dan Kesusasteraan Kent (P3K) sebagai kurikulum tambahan di bawah Jabatan Pengajian Melayu di kampus berkenaan, kelmarin.

Menurut Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Madius Tangau, penubuhan P3K itu dilihat sebagai usaha untuk menanam rasa kecintaan terhadap budaya, bahasa dan sastera dalam kalangan bakal pendidik.

“Jika bakal guru yang dilahirkan ini kental dengan citra budaya, bahasa dan sastera kebangsaan, tentunya kecintaan ini dapat di malar segar dalam kalangan anak didik mereka nanti.

“Saya juga menyokong penuh usaha ini kerana bakal pendidik merupakam penentu masa depan anak-anak bangsa kini seperti hasrat kerajaan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan untuk melahirkan masyarakat mempunyai citra kebangsaan yang jati,” katanya pada Majlis Penutupan Seminar Penyelidikan Bahasa, Budaya dan Sastera Melayu Serantau 2016.

Katanya, dengan kepesatan teknologi maklumat, pelbagai unsur budaya dari negara luar masuk tanpa sekatan.

“Kemasukan pengaruh dari luar ini sukar untuk dibendung, namun kita boleh mengambil inisiatif untuk memastikan generasi kita tegar dan jitu dengan prinsip mengekalkan budaya, bahasa dan sastera kebangsaan,”tambahnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Joisin Romut.

Sebanyak 48 kertas penyelidikan dalam pelbagai kajian daripada universiti tempatan dan luar negara dibentangkan sepanjang seminar berlangsung.

Hasil kajian seminar akan diterbitkan dalam Prosiding Kajian dan Jurnal Bahasa Kent untuk rujukan orang ramai.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pengarah IPG Kampus Kent, Romli Darus, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Tuan Haji Abdul Adzis Abas dan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Hajah Asmiah Haji Ajamain.

SF

Tinggalkan komen anda