Skip to main content
Berita TempatanSarawak

PRN Sarawak Dijangka Kekal Guna 82 Kerusi DUN Sedia Ada

By 12 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Joshua Amir Sibat (BMKK)

KUCHING, 5 Julai (MalaysiaAktif) – Sarawak berkemungkinan bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menggunakan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada berikutan proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka tidak sempat diselesaikan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak menghormati dan akur terhadap proses yang sedang dilaksanakan SPR, meskipun DUN Sarawak sebelum ini telah meluluskan pindaan undang-undang bagi menambah 17 kerusi baharu menjadikan keseluruhannya 99 kerusi.

Menurutnya, proses persempadanan semula memerlukan tempoh sekitar enam hingga tujuh bulan kerana SPR perlu mempamerkan syor kepada orang awam untuk semakan serta menguruskan sebarang bantahan sebelum laporan akhir dapat dimuktamadkan.

“Kita mengakui dan akur kepada keputusan SPR kerana itu adalah kuasa SPR. Tiada masalah sama ada pilihan raya diadakan dengan kekal 82 kerusi atau 99 kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Peruntukan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Jumaani, di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan laporan akhir cadangan pertambahan kerusi DUN Sarawak dijangka hanya dapat dibentangkan tahun depan berikutan prosedur persempadanan semula yang masih berjalan.

-FN

Tinggalkan komen anda