
Oleh Genda Sating / Foto : Mahmud Sulaiman
KUCHING, 26 Julai (Malaysiaaktif) – Terengganu berjaya menambah tiga lagi pingat dalam acara Sukan Berbasikal Lebuh Raya SUKMA XVIII Sarawak 2016 yang memasuki hari ke-tujuh hari ini, yang diadakan di Jalan Bandar Baru Samariang/ FAC Kuching, pagi tadi.
Dalam Acara Kriterium Lelaki Akhir, jarak 4.2KM X 15 laps (Lima pecutan) yang melibatkan 62 orang pelumba berbasikal lelaki, Terengganu berjaya memperoleh pingat emas dan perak melalui pelumbanya, Asyraf Naim Ying dan Irwandie Lakasek dengan catatan 20 dan 16 mata. Manakala Johor berjaya memperoleh pingat gangsa melalui pelumbanya, Mohamad Al Azani Zainal dengan catatan lapan mata.
Sementara itu, bagi Acara Kriterium Wanita Akhir, jarak 4.2KM X 12 laps (Empat pecutan) yang melibatkan 21 orang pelumba berbasikal wanita, Terengganu sekali lagi berjaya memperoleh pingat emas melalui pelumbanya, Nur Aisyah Mohamad Zubir dengan catatan 16 mata. Pelumba dari Pahang, Siti Aisyah Alias pula telah berjaya memperoleh pingat perak dengan catatan 10 mata manakala pelumba dari Selangor, Farina Shawati Mohd Adnan telah berjaya memperoleh pingat gangsa dengan catatan sembilan mata.
Pelumba Sarawak, Nurazrenna Ahmad Jumry yang tertinggal sedikit di belakang pelumba Selangor terpaksa akur apabila menduduki tempat ke-empat, walaupun turut berjaya mengutip sembilan mata dalam acara ini.
Presiden Berbasikal Negeri Johor, Datuk Samat Arifin telah hadir bagi menyempurnakan pingat dan maskot kepada pemenang bagi Acara Kriterium Lelaki Akhir manakala penyampaian pingat bagi Acara Kriterium Wanita Akhir telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Rozi Mamat.
SF