Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad, Juraini Ahmad Sobri, Siti Khadijah Edi Wahab / Foto: Wan Faizal Wan Hadari
KUCHING, 26 Jul (Malaysiaktif)-Baju dan maskot menjadi pilihan utama pembeli cenderahati dan peminat sukan di mana-mana temasya sukan berlangsung begitu juga dengan SUKMA XVIII yang jarang berlaku kerana setiap negeri perlu menunggu giliran untuk bergelar sebagai tuan rumah.
Baju atau alat sukan biasanya menjadi simbolik kenangan sebagai bukti bahawa seseorang itu telah menyaksikan temasya berprestij tersebut.
Menurut Pengurus Syarikat LEA Sports Centre Sdn Bhd, Kuching, Julie Jee, 40, yang ditemui di tapak perniagaan di hadapan Stadium Akuatik di sini, mereka menjual pelbagai jenis cenderahti termasuklah baju dengan harga RM23 hingga RM32 sepasang, payung RM25, dan beg pelbagai saiz dan bentuk yang dijual antara RM25 hingga RM35.
Sementara itu, maskot rasmi burung kenyalang turut dijual dengan harga RM39, topi RM20, cawan RM18, Car Sun Shade RM24 dan bermacam-macam cenderahati lagi.
Mereka mula beroperasi sepanjang SUKMA berlangsung dari 9.30 pagi hingga 9.30 malam.
Tambahnya, barang yang paling laris dijual ialah baju, maskot dan topi. Sepanjang tempoh SUKMA berlangsung, mereka dibantu oleh seramai 10 orang jurujual.
Lokasi lain yang turut menjual cenderahati SUKMA adalah di semua lokasi pertandingan termasuklah Unimas, Bowling Centre MJC, SLTA Tenis dan Dewan Suarah.
Antara pembeli yang ditemui iaitu Joachin Pagang, 39, seorang pegawai kerajaan dari Jabatan Ketua Menteri Sarawak berkata harga bagi baju yang dijual adalah berpatutan.
“Dari segi kualiti kain sangat memuaskan dan sejuk dipakai. Di samping itu, cenderahati ini saya mahu jadikan sebagai kenangan pada masa depan kerana SUKMA hanya berlangsung setiap dua tahun dan setiap negeri perlu menunggu giliran untuk menganjur sukan tersebut.
“Menunggu giliran sebagai penganjur adalah lama. Sarawak juga telah menunggu selama 26 tahun untuk menjadi tuan rumah entah bila lagi Sarawak akan menjadi penganjur pada masa akan datang,” ujar Joachin.
Joachin berharap semoga SUKMA XVIII ini berjalan dengan lancar dan Sarawak cemerlang sebagai tuan rumah.
SF