Skip to main content
Berita TempatanSabah

?Konvoi Kembara Jalur Gemilang Serah Sumbangan kepada Mangsa Kebakaran

By 5 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh: Asmidar Zainol & Vicky Matanjang (Sabah)
TAWAU, 5 Ogos (Malaysiaktif) – Konvoi Kembara Jalur Gemilang (KKJG) 2016 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN) menyerahkan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran Kampung Pukat, di sini, pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat menerima sumbangan tersebut bagi pihak mangsa yang terlibat daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, JaPEN Sabah, Wasrin Jakaria.

Hamisah yang juga merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat berkata kebakaran tersebut merupakan dugaan kepada para penduduk setempat.

“Pada tahun lalu berlaku kebakaran besar di Kampung Logpond manakala tahun ini di Kampung Pukat dan selang tiga hari di Kampung Paya.

“Ini satu ujian dan cabaran kepada mangsa dan keluarga. Walau bagaimanapun, kerajaan akan membantu sama ada wang tunai dan sebagainya,” tambah Hamisah.

Terdahulu Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Salleh telah mengumumkan bantuan untuk membina rumah Perumahan Bantuan Rakyat (PBR) kepada mangsa-mangsa kebakaran ini.

Menurut Hamisa, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada pihak NGO, individu persendirian dan agensi kerajaan untuk meringankan beban mangsa kebakaran tersebut.

Ditanya berkenaan sumbangan tersebut, Hamisa berkata pihaknya akan menggunakan wang tersebut untuk membeli keperluan sekolah anak-anak mangsa kebakaran terbabit.

Sementara itu, mangsa kebakaran, Juriah Basman, 43, berkata dia bersyukur atas sumbangan yang disampaikan oleh KKJG 2016.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Hamisa, bantuan persekolahan yang diberikan dapat meringankan perbelanjaan kami dan amat berharap pihak kerajaan dapat mempercepat pembinaan rumah seperti yang dijanjikan,” katanya lagi.

Juriah bersama 19 lagi keluarga yang kehilangan tempat berteduh setelah kediaman mereka dijilat api pada 29 Julai lepas.

SF

Tinggalkan komen anda