
Laporan dan Foto oleh : Mohd Zaid Awang
SETIAWANGSA, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengambil tindakan proaktif dengan menubuhkan Unit Khas Pertahanan Siber sejak tahun lepas bagi mencegah aset dan maklumat pertahanan negara diceroboh.
“Sistem yang dibangunkan ini untuk melindungi serta mencegah sistem pertahanan negara daripada diserang atau diceroboh oleh pihak luar”, jelas beliau semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Gombak di Dewan Sri Iskandar, Setiawangsa pagi tadi.
Beliau mengulas, kebocoran maklumat kapal selam Scorpene baru-baru ini telah mendapat pengesahan dan persetujuan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bahawa tindakan proaktif dilakukan sejak tahun lalu terhadap kontek pertahanan siber berbeza dengan keselamatan siber.
“Kita sedang menyediakan sistem serta bekerjasama rapat dengan negara tertentu supaya maklumat-maklumat rahsia berhubung aset ketenteraan dapat dipastikan tidak boleh diceroboh atau diserang oleh mana-mana pihak”, jelas beliau.
Menurut Hishammuddin, beberapa aspek utama menjadi fokus Unit Khas Pertahanan Siber seperti pemantauan rapi terhadap sebarang aktiviti berbentuk ancaman-ancaman siber yang berpotensi mengancam sistem dan rangkaian pertahanan negara, pengukuhan sistem pertahanan siber terhadap sistem infra Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), pengauditan keselamatan siber dan aktiviti siber forensik.
“Tidak ada negara di dunia hari ini terlepas daripada mendepani ancaman siber malah cabarannya makin komplek kerana dunia siber merupakan satu bentuk persekitaran tanpa sempadan di mana komuniti yang terlibat tidak pernah mempunyai sempadan”, ujar beliau.
Menurutnya, atas platform siber ia boleh digunakan oleh semua pihak berkepentingan samada individu, berkumpulan atau pun organisasi termasuklah mereka yang mempunyai unsur-unsur keganasan dan terorisme seperti DAESH.
“Pihak ATM dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keselamatan dan pertahanan negara melalui apa jua cara termasuk atas platform siber”, tambah beliau.
Beliau berpendapat sekiranya program ini dapat memastikan keselamatan maklumat daripada diceroboh, ia akan diperluaskan kepada kementerian lain yang mempunyai maklumat sensitif juga.
-DK