Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurPutrajaya

Ibarat Pakai Bendera Sambil Berkayuh

By 28 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

  Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – “Jika kita lihat hari ini, semua yang berkayuh tak kira Melayu, Cina atau India kita nampak cukup bersatu dengan pakaian yang dikenakan menggunakan warna bendera Malaysia. Ibarat seperti pakai bendera sambil berkayuh.”

Demikian kata Pengurus Tapak, Aunand Kupumutho, 35 ketika ditemui selepas menghabiskan Kayuhan Patriotik Fun Ride 2016 di Perbadanan Putrajaya pagi tadi.

Aunand menyertai aktiviti berbasikal buat kali pertama bersama sahabatnya Dinesh Gupalan setelah diajak oleh teman rapat mereka Azron Nudin.

image

Tiga sahabat yang menyertai Kayuhan Patriotik Fun Ride 2016 pagi tadi

“Jika bukan sebab Azron, kami pasti tidak ada kat sini. Azron yang bawa kami berdua untuk acara pagi ini. Kebetulan pula bulan patriotik, jadi kami sambut bersama-sama.

“Kalau program lain kita nak menang
tapi yang kayuhan kali ni kita hanya nak sokong antara satu sama lain. Saya lihat jika ada yang lambat, kita tunggu. Bila ada peserta yang tayarnya pancit, kita tolong baiki. Nampak sangatlah kita bersatu hati.

Sementara itu, bagi Penasihat Unit Amanah, Azron tujuan mereka berkayuh adalah untuk mengekalkan stamina masing-masing yang suka bersukan.

“Sukan ialah satu cara untuk menyatukan masyarakat. Bila bersukan orang dah tak fikir warna kulit, fahaman politik atau asal usul.

“Sukan jika dapat dimajukan lebih-lebih lagi saya perasan setiap minggu kini dah ada acara larian, memang masyarakat kita banyak habiskan masa dengan bersukan. Jika tengah bersukan, walau tengah berlari pun jika ada yang cedera pasti ada yang akan tolong tak kira bangsa,” jelasnya yang menyertai acara Kayuhan 30km.

Dalam pada itu dua beradik, Chan Peng Leong, 62 dan Chan Peng Lee, 52, mereka yang telah lama berkayuh amat berpuas hati dengan penganjuran kali ini.

image

Dua beradik, Chan Peng Leong, 62 dan Chan Peng Lee, 52 menyertai acara kayuhan 30km

“Trek yang bagus. Kawalan pun bagus. Keselamatan jalan juga bagus. Ramai yang dapat berkumpul hari ini.Kiranya sambil berkayuh, kita berjaya menunjukkan semangat patriotik kepada negara,” ujar Peng Leong

Bagi Peng Lee pula program seperti ini perlu diperbanyak kerana dapat mengeratkan hubungan selain dapat menyihatkan tubuh badan.

“Saya dah biasa berkayuh sejauh 25km sehari. Jadi hari ini yang penting saya dapat bersama 12 rakan sepasukan saya yang datang dari Port Dickson untuk memeriahkan acara pada hari ini,” ujarnya.

Bagi Nurhafizah Abdul Wahab, 33 aktiviti berkayuh ini ibarat aktiviti santai buat keluarganya.

 

image

Nurhafizah Abdul Wahab ber’wefie’ bersama keluarganya.

“Kami datang bertujuh hari ini dan menyertai Kayuhan 10km. Memang tiap-tiap minggu saya bawa anak-anak dan keluarga berkayuh. Selain nak sihat, kiranya ni program santai kami.

“Pada saya, program hari ini memang istimewa bila dapat lihat semua pakai baju sama, dengan warna bendera Malaysia. Nampak masing-masing cukup bersemangat patriotik.

“Dalam program hari ini juga dapat juga kita lihat banyak Jalur Gemilang diedarkan dan dikibarkan, jadi terasa lah bersemangat nak sambut merdeka empat hari lagi,” jelasnya yang tinggal di Jalan Ipoh.

 

image

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan ketika melepaskan Konvoi Kembara Jalur Gemilang 2016 Edisi Wilayah Persekutuan pagi tadi

Selain Kayuhan Patriotik Fun Ride Putarajaya 2016, Konvoi Kembara Jalur Gemilang Edisi Wilayah Persekutuan turut dilepaskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersempena Hari Kebangsaan yang bakal disambut empat hari lagi.

Tinggalkan komen anda