Skip to main content
Berita TempatanSabah

Daftar OKU Bantu Kerajaan Rancang Program Sesuai

By 24 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

  Oleh: Zuraidah Ahmad & Volintine Jiloh (Sabah)

KOTA KINABALU, 24 Ogos (Malaysiaktif) – Pendaftaran Orang Kelainan Upaya (OKU) sangat penting bagi membantu kerajaan merancang program pemulihan, latihan, pendidikan, menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang sesuai.

Menurut Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, kerajaan sentiasa merancang, menggubal dan melaksanakan agenda yang mermartabatkan golongan OKU agar mereka memperoleh hak yang saksama seperti rakyat Malaysia yang lain.

Azizah menyeru masyarakat dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili OKU, supaya berdaftar secepat mungkin agar kerajaan dapat menyalurkan bantuan serta merangka langkah-langkah intervensi awal bagi membantu perkembangan anak-anak tersebut meliputi pelbagai aspek kehidupan termasuk pekerjaan.

“Agenda perjuangan OKU baik dari aspek pengupayaan mahu pun pemerkasaan golongan OKU tidak dapat akan dapat dilaksanakan dengan jayanya jika kita hanya bertepuk sebelah tangan.

“Sebaliknya, agenda tersebut merupakan satu usaha yang memerlukan kolaborasi semua pihak baik kerajaan, pihak swasta, NGO berkaitan dan masyarakat.

“Sehubungan itu, kami amat menghargai jalinan strategik yang telah lama terbina bersama-sama Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) yang kini sudah mencecah usia 16 tahun.

“Jalinan kerjasama strategik yang mampan dan perkongsian maklumat antara PDSM dengan pihak kerajaan telah banyak membantu dalam memahami keperluan golongan sindrom down dan menjadikan kerajaan lebih komited kepada aspek pendidikan terbaik yang bersifat inklusif.

“Perkara ini dapat dilihat dengan kewujudan Taska Anak Istimewa Sindrom Down (ANISD) hasil kerjasama kerajaan dan PDSM di Putrajaya yang menyediakan perkhidmatan intervensi awal yang komprehensif untuk memenuhi keperluan kanak-kanak istimewa ini dan keluarga mereka,” katanya ketika Majlis Pembukaan Pusat Pembelajaran Persatuan Sindrom Down Kota Kinabalu (PSDKK) dekat sini, pada Selasa.

Menurut Azizah, sehingga 14 Ogos 2016, seramai 392,055 OKU yang telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan 138,326 daripadanya merupakan OKU pembelajaran, sementara Sabah merekodkan 10,068 OKU pembelajaran berdaftar.

Persembahan kanak-kanak di pusat berkenaan.

Persembahan kanak-kanak di PSDKK

Beliau turut mengingatkan PSDKK agar tidak mengabaikan aspek keupayaan masyarakat dalam program-program yang dilaksanakan di pusat pembelajaran berkenaan.

“Saya melihat dalam perjuangan kita mengintegrasikan golongan OKU dalam masyarakat tidak akan dapat dicapai jika fokus kita hanya kepada aspek pemerkasaan OKU sahaja.

“Sehubungan itu, pendekatan Trek Berkembar (Twin Track Aproach) yang menfokuskan kepada aspek memperkasakan OKU (Self Empowerment) dan proses keupayaan dalam masyarakat (Social Enablement) perlu dilakukan secara seiringan bagi memastikan proses integrasi golongan OKU kepada masyarakat dapat dilaksanakan dengan jayanya,” jelasnya.

PSDKK merupakan NGO yang menyediakan pusat bagi memberi latihan dan pembelajaran khusus untuk kanak-kanak Sindrom Down yang pertama di Sabah tanpa bantuan kerajaan, dan juga merupakan yang ke-13 ditubuhkan di Malaysia.

Selain PSDKK, Azizah berhasrat melihat lebih banyak pusat seumpama dibuka di daerah-daerah oleh mana-mana NGO dan pihaknya bersedia membantu dalam menyediakan keperluan serta kemudahan kepada pusat berkenaan melalui peruntukan geran tahunan.

-SF

 

Tinggalkan komen anda