Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Stigma Masyarakat Terhadap Bekas Penagih Dadah Perlu Diubah

By 24 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fasharina Kholil

GERIK, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed, berkata mentaliti dan tanggapan masyarakat terhadap bekas penagih dadah dan keluarga mereka perlu diperbetulkan agar tidak mengasingkan mereka bahkan turut sama memberi sokongan kepada golongan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian program Ziarah Kasih Merdeka anjuran Komuniti 1Malaysia (K1M) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Mukim Gerik di Dewan Orang Ramai Kg. Bongor, di sini, semalam.

“Mereka perlukan bantuan dan sokongan kerana majoriti yang terlibat di dalam gejala ini kurang keyakinan diri dan merasa malu. Pada masa kini, sikap mengambil tahu perlu ada dalam diri setiap daripada kita agar kita sama-sama dapat membantu serta membanteras masalah penyalahgunaan dadah ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, usaha untuk menangani isu dadah ini perlu dilakukan bersama-sama dan jangan sesekali menuding jari menyalahkan orang lain apabila ada ahli keluarga yang terlibat dalam masalah ini.

Salbiah turut menyarankan orang ramai agar membuang stigma malu untuk mengakui ada ahli keluarga yang terlibat.

Salbiah Mohamed ADUN Temengor

ADUN Temengor, Salbiah Mohamed ketika berucap di majlis perasmian program Ziarah Kasih Merdeka di Dewan Orang Ramai Kg. Bongor, Gerik.

 

“Perasaan malu dan takut perlu dibuang kerana ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah ini bahkan hanya akan menjadi masalah ini semakin parah. Hubungi pihak berkuasa agar perkara ini tidak berlarutan,” tegas Salbiah.

Program Ziarah Kasih Merdeka ini bertujuan untuk melahirkan masyarakat prihatin dan penyayang tanpa mengira latar belakang ataupun kaum.

Penerima program ini menerima sumbangan keperluan harian termasuk beras dan gula kepada sembilan buah keluarga di Mukim Gerik yang mempunyai individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta bekas penagih dadah yang berdaftar di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Hulu Perak.

Dalam pada itu, Salbiah turut mengharapkan program sebegini akan diteruskan dari masa ke masa supaya keluarga dan individu yang terlibat dalam gejala tersebut tidak merasa terpinggir dan terabai oleh masyarakat.

Sementara itu, Penghulu Mukim Gerik, Mohd Jamily Ramna, 40, berkata, usaha murni bagi membantu keluarga dan orang kena pengawasan (OKP) ini adalah satu cara untuk mengembalikan keyakinan mereka yang terlibat serta keluarga.

“Semua pihak perlu berganding bahu bagi menangani isu dadah ini. Program ziarah seumpama ini merupakan salah satu platform untuk membantu mereka dan keluarga mereka,” ujar Mohd Jamily.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda