
Oleh: Dzulhardey Shah Abdullah@ Hamidey (Sabah)
BEAUFORT, 24 Ogos (Malaysiaktif) – Menurut Kajian Mata Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan, Sabah mempunyai kadar tertinggi kebutaan disebabkan katarak.
Pesakit mata Katarak kini semakin mendapat perhatian dan manfaat daripada program Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) yang diadakan di Hospital Beaufort pada Isnin.
Katarak ialah penyakit mata apabila lensa mata diselaputi seperti awan putih yang menyebabkan pandangan mata terganggu serta mempengaruhi jarak pandangan. Katarak kronik mampu menyebabkan radang dan sakit kepala.
Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Sabah merangkap Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Jabatan Oftalmologi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Dr. Shuaibah Ab Ghani berkata, program KK1M ini bermula pada September tahun lalu dan berjaya merawat 131 pesakit dari Keningau, Labuan, Lahad Datu dan Tenom.

Dr. Nazirah Ibrahim melakukan pemeriksaan mata pesakit selepas pesakit mendapatkan rawatan di Bilik Bedah. Foto: Dzulhardey Shah Abdullah@ Hamidey
“Kita membawa peralatan untuk pembedahan dengan tenaga pakar beserta tenaga kerja ke hospital daerah dan ini bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan” ujarnya.
Tambahnya, statistik rekod dari Januari hingga Ogos, seramai 124 pesakit telah dirawat dan tahun ini kam menyasarkan seramai 255 pesakit dirawat menerusi program ini.
Selain itu, penyertaan persatuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Taiwan Buddhist Tzu-Chi Foundation Malaysia (Kota Kinabalu) turut menaja 11 orang pesakit untuk menerima rawatan semasa program berkenaan.

Dr. Natasha Mansur menjelaskan prosedur rawatan kepada pesakit sebelum sebarang pemeriksaan kesihatan dilakukan. Foto: Dzulhardey Shah Abdullah@ Hamidey
Sementara itu, menurut Pengarah Hospital Beaufort, Dr. Sutharsan A/L Kannan, pelaksanaan program ini amat bertepatan memandangkan pesakit katarak dari daerah ini semakin meningkat selain kesukaran pesakit mendapatkan rawatan disebabkan tinggal jauh di pedalaman.
“Klinik Katarak 1Malaysia seterusnya akan diadakan pada 20 hingga 21 Oktober ini dengan melibatkan pesakit dari Pulau Labuan,” ujarnya.
Program yang diadakan secara NBOS (National Blue Ocean Strategy) ini melibatkan seramai 23 petugas terdiri daripada doktor, pakar mata dan kakitangan Jabatan Oftalmologi, Hospital Queen Elizabeth serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah selain mendapat kerjasama dari syarikat swasta, persatuan daripada NGO dalam memberi perkhidmatan, penyediaan alat rawatan dan sokongan kepada pesakit katarak.
-SF