Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus & Saiful Rahman Sabri (Sabah)
KOTA KINABALU, 24 Ogos (Malaysiaktif) – Festival Muzik Rhythms Of Kinabalu 2016 (ROK) dianjurkan buat tahun kelima di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah bakal hadir dengan suntikan pengisian baharu, pada 9 dan 10 September ini.
ROK 2016 bertemakan ‘Sabah Authentic Musical Concert’ akan mempelbagaikan pengisian aktiviti yang bukan hanya sebagai ‘arts for the arts sake’ tetapi ‘arts for income generation’.
Menurut Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKKN, Rodzuan Ismail, ROK 2016 akan memberi signifikan kepada pembangunan industri kreatif dan seni budaya tanah air serta meningkatkan pendapatan sektor pelancongan negara khususnya Sabah.
“Selain konsert utama, ROK tahun ini disokong dengan aktiviti baharu seperti Musical Parade iaitu perarakan muzik secara berkumpulan dengan menggunakan pelbagai alat muzik tradisional dan moden termasuk bahan-bahan terbuang pada 10 September 2016.
“Aktiviti sokongan lain ialah pameran alat-alat muzik tradisional Sabah, bengkel asas muzik tradisional, persembahan acoustica music dan gerai jualan,” katanya ketika sidang media di sini, pada Isnin.
Antara artis tempatan yang akan menjayakan ROK 2016 ialah Firman AF, Nera AF, Janrywine J.Lusin, Razali Kulintangan dan Jerry Kamit.
Jelas Rodzuan, festival itu mengetengahkan persembahan Okestra Muzik Tradisional Borneo yang unik dan bermutu tinggi dengan menggunakan instrumen yang diperbuat daripada buluh, kayu dan logam seperti sompoton, seruling, bungkau, gabang, gambus, kulintangan dan gong.
“Program ini juga memperlihatkan kepelbagaian genre muzik oleh pelbagai etnik, di samping meningkatkan apresiasi seni muzik mendalam dalam kalangan masyarakat tempatan di Sabah,” ujarnya.
Tambahnya, sejak dianjurkan pada 2012, ROK berjaya menarik seramai 8,000 khalayak dan telah menyumbang 10 peratus peningkatan kehadiran pelancong antarabangsa ke Sabah pada 2015.
Tiket bagi menyaksikan ROK 2016 dijual pada harga RM100, RM50 dan RM30 boleh diperoleh di JKKN Sabah.
-SF