
Oleh: Zuraidah Ahmad & Jeffren Malaning (Sabah)
BEAUFORT, 4 Ogos (Malaysiaktif) –? Kelab Kesenian dan Kebudayaan Beaufort akan diwujudkan sebagai usaha penambahbaikan kepada program tahunan, Festival Bagandang.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, badan itu dipertanggungjawabkan untuk menampilkan persembahan kebudayaan serta memperhebat promosi bagi memastikan masyarakat dan penggiat seni menerima limpahan ekonomi yang signifikan.
“Sudah sampai masanya sebagai pemimpin, kita serahkan tanggungjawab kepada golongan muda agar festival ini dikendali dan diteruskan menerusi Kelab Kesenian dan Kebudayaan Beaufort yang melibatkan semua kaum yang ada di daerah ini.
“Mereka akan menjadikan program ini sebagai program yang berterusan dan bukan sahaja untuk bersuka ria tetapi juga memberi impak ekonomi yang besar kepada masyarakat terutama penggiat seni bagandang.
“Ini termasuklah memikirkan strategi promosi kepada para pelancong luar negara menerusi kerjasama dengan operator industri pelancongan.
“Daerah Beaufort merekodkan jumlah kedatangan pelancong tidak kurang 300 orang setiap hari, jadi kita perlu memanafaatkan peluang ini dengan memperhebat lagi promosi program ini,” jelasnya.
Menurut Azizah, festival yang dianjurkan sejak 2009 itu kini telah berjaya melakar nama di seluruh Malaysia sebagai produk dan identiti pelancongan daerah tersebut menerusi kalendar pelancongan negeri.
Selain itu, beliau turut mengumumkan penukaran nama Tapak Tamu Beaufort kepada Dataran Bagandang dan sedia menyalurkan peruntukan bagi urusan menaik taraf kawasan berkenaan di bawah kelolaan Pegawai Daerah, Mohd Shaid Othman.
Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort menyatakan demikian kepada media selepas merasmikan Festival Bagandang Beaufort 2016 pada Sabtu.
Dalam pada itu, hujan lebat nyata tidak menghalang kemeriahan festival berkenaan, malah ribuan penonton tetap setia menyaksikan persembahan hebat para pengiat seni termasuk dari Sarawak dan artis jemputan, Khalifah yang popular dengan lagu ‘Hang Pi Mana’.
SF