
Pelapor / Foto: Robani Nabi Ahmad
KOTA BHARU, 8 Ogos (Malaysiaaktif) — Dalam usaha menyumbang kepada pemerkasaan sektor pelancongan domestik, sepasang suami isteri membangunkan sebuah destinasi eko-pelancongan yang berkonsepkan alam dan hijau bagi mempelbagaikan tarikan di sekitar Kota Bharu.
Min House Camp (MHC) yang terletak di Kubang Kerian di sini dimiliki oleh Mohamad Zanini Mohamood, 60 dan isterinya, Wan Noriah Wan Ramli, 61. Mereka menamakan resort ini sempena nama anak mereka yang istimewa, Min.
Inisiatif mengusahakan tarikan eko pelancongan mereka mendapat sokongan daripada pihak kerajaan, termasuk Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dan Malaysia Airports Berhad.
Sebagai destinasi berpaksi kepelbagaian alam dan ekologi, MHC mempunyai taman-taman herba, taman lebah kelulut serta kehadiran koloni kelip-kelip yang semakin pupus di negara ini.
Lokasi yang nyaman ini semakin menjadi tarikan kepada pelawat tempatan kerana keunikannya.
Menurut Noriah, MHC turut mengadakan pelbagai aktiviti untuk memenuhi keperluan dan citarasa pengunjung, termasuk kem motivasi untuk pelajar, kembara minda bersampan menyusuri sungai, lawatan koloni kelip-kelip dan berkayak.
Pengunjung juga berpeluang untuk menikmati madu kelulut segar dari ladang yang diusahakan sendiri oleh Noriah. Terdapat lebih 400 sarang kelulut yang turut dijadikan pusat kajian oleh pihak Universiti Sains Malaysia (USM) untuk pelbagai tujuan.