Oleh: Zuraidah Ahmad, Ahmad Sahid Jibal & Mohd Nazri Tapisil (Sabah)
KOTA KINABALU, 9 Ogos (Malaysiaktif) – Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan melalui Jabatan Perumahan Negara sedang membina 23,114 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Sabah.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15,956 unit rumah PPR sudah siap dibina dan 7,158 unit lagi sedang dalam pembinaan.
Sementara, di Sandakan sebanyak 4,000 unit telah pun siap dibina dan dihuni, manakala 1,080 unit lagi sedang dalam pembinaan.
Menterinya, Datuk Seri Haji Hajiji Noor berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan ADUN Sekong, Datuk Samsudin Yahya di Dewan Undangan Negeri Sabah, semalam.
Menjawab isu sama yang dikemukakan ADUN Klias, Datuk Seri Lajim Ukin, Hajiji menjelaskan status pembinaan 67 buah rumah PPR Selangon Beaufort kini mencapai 93 peratus siap dan dijangka siap pada tahun ini.
“Di bawah RMK ke-11, sebanyak 5,960 unit rumah PPR dicadang dibina di Kota Kinabalu (1,000 unit), Sandakan (680 unit), Semporna (500 unit), Tawau (1,000 unit), Lahad Datu (1,000 unit), Papar (1,000 unit), Keningau (780 unit), Kudat (500 unit) dan Beaufort (280 unit),” katanya kepada sidang dewan.
Sementara itu, Hajiji turut menjawab pertanyaan lisan daripada ADUN Inanam, Dr Roland Chia Ming Shen dan memaklumkan dewan bahawa 1,785 unit rumah sudah siap di daerah Inanam iaitu PPR Puri Warisan dengan jumlah 785 unit yang telah siap dan dihuni, manakala 1,000 unit PPR Kionsom sedang dalam pembinaan.
Beliau turut memberitahu dewan, kriteria untuk mendapatkan rumah skim PPR ialah golongan setinggan tempatan dan warganegara, ibu tunggal, berpendapatan rendah, Orang Kelainan Upaya (OKU), mangsa kebakaran tetapi tertakluk kepada kekosongan dan mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan.
Hadir pada Sesi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat DUN Sabah Ke-14 itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman
SF