
Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad/Jurufoto:Cassidy Lisut Tubong
SRI AMAN, 30 Ogos (Malaysiaaktif)-“Ikan puyu yang selalunya ada di dalam sungai atau parit mempunyai mitosnya sendiri”.
Demikian kata Lizawati Bakar 35 yang berasal dari Kampung Hilir Sri Aman yang telah menjual ikan puyu di Pasar Lama Sri Aman sejak 2014.
Lizawati berpendapat ikan puyu mempunyai mitos tersendiri mengikut kepercayaan masing-masing dan petua-petua daripada orang tua dulu.
“Kalau pembeli bangsa Cina, mereka selalunya membeli puyu bersaiz besar untuk tujuan sembahyang dan dilepaskan semula ke dalam sungai.
“Kalau bangsa Melayu, iban atau lain-lain, mereka beli untuk pelihara dalam rumah demi menjagà rumah daripada diganggu mahluk halus seperti iblis, sihir, santau mahu pun ilmu jahat,” ujarnya yang ditemui oleh wartawan Malaysiaaktif pagi tadi.
Lizawati juga berkata pendapatan jualannya juga amat memberangsangkan.
“Saya dapat menjual ikan puyu bersaiz kecil dengan harga RM5 untuk lima ekor, saiz sederhana dengan RM10 manakal RM20 bagi saiz besar. Dalam sehari, saya dapat menjual dalam 50 ke 70 ekor mengikut saiz dan kehendak pelanggan sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, pemancing ikan puyu, Adam Rapni, 55 menyatakan dia memancing ikan puyu di sungai dan di ladang sawit di Nanga San.
“Kerja pancing ikan puyu ialah kerja sampingan demi menambah pendapatan. Dalam sehari saya dapat 50 ke 60 ekor,” ujarnya yang turut ditemui pagi tadi.
Ikan puyu juga biasanya digoreng atau dibuat pekasam mengikut selera masing-masing.
–SF