
Oleh Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian
LABUAN, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Merdeka@Komuniti Santai Merdeka #SehatiSejiwa anjuran Komuniti 1Malaysia (K1M) Zon 18 Labuan bersama Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Labuan berjaya mendekati warga emas yang kurang berkemampuan dan uzur.
Program yang dihadiri oleh Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Datuk Haji Isli telah berlangsung di Rumah Transit dan Kebajikan Tan Sri Harris Salleh di Tanjung Aru di sini petang kelmarin.
Menurut Rozman ini merupakan saat yang terindah disamping merayakan bulan kebangsaan kita harus tidak lupa kepada golongan yang memerlukan khususnya warga emas.
Beliau berharap melalui sumbangan tersebut dapat meringgankan serba sedikit kesusahan yang dialami oleh mereka.
Beliau juga memuji individu mahupun badan -badan sukarelawan bukan kerajaan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan serta menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan serta rumah-rumah kebajikan.
Pada majlis tersebut seramai 10 orang, termasuk penghuni Rumah Transit dan Kebajikan Tan Sri Harris Salleh menerima sumbangan disamping sumbangan sebuah televisyen oleh Klinik Wilayah Labuan melalui program kemasyarakatannya kepada Rumah Transit tersebut.
Seorang penghuni, Tan Tin, 60, yang mengalami penyakit stroke amat berterima kasih diatas sumbangan yang di terimanya walaupun tidak sebesar mana namun ia membuktikan bahawa golongan warga emas seperti beliau tidak diabaikan.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat Perbandaran Labuan, Datuk Haji Bashir Haji Alias, Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan, Matteri Marusin serta Pengerusi Komuniti 1Malaysia Zon 18 Labuan, Herin Lumpisau.