
Oleh : Syed Hisham Shah / Foto : Kementerian Komunikasi dan Multimedia (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 2 Ogos (Malaysiaktif) – Menghubung rakyat, membina masyarakat bermaklumat, menggerak ekonomi digital, dan memperkasa industri kreatif menjadi empat teras utama Pelan Strategik Komunikasi dan Multimedia di bawah setahun pentadbiran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Tanggal 3 Ogos, genap setahun Salleh menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia, sebuah kementerian yang berperanan besar dalam memberi penjelasan berkaitan dasar dan program kerajaan.
Bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin bertambah, Malaysia telah mula melangkah ke hadapan dengan peningkatan infrastruktur telekomunikasi. Dalam era digital dan globalisasi masa kini, adalah penting untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang terhubung dan berhubung.
Sehubungan itu, kementerian memberi penumpuan dalam mempertingkatkan capaian Internet melalui projek pembinaan jalur lebar berkelajuan tinggi Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi 2 (HSBB 2) dan Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB).
Sehingga kini, kelajuan perkhidmatan jalur lebar telah meningkat dengan tersedianya sejumlah 1.9 juta port dalam Projek HSBB dan HSBB2 yang memberi liputan dan manfaat kepada 3.1 juta premis di kawasan-kawasan yang terlibat.
Sebanyak 1,392 lokasi telah dinaiktaraf kepada perkhidmatan 3G di seluruh negara dalam meluaskan liputan Jalur Lebar Mudah Alih 3G.
Peluasan Rangkaian Fiber Optik atau SKR1M merupakan satu inisiatif menaiktaraf rangkaian teras sedia ada kepada fiber optik untuk perkhidmatan mudah alih berkelajuan tinggi dan menyediakan lebar jalur yang lebih baik selari dengan permintaan untuk perkhidmatan Long-Term Evolution (LTE) atau 4G.
Selaras dengan matlamat meningkatkan jaringan komunikasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dengan lebih pantas, Salleh optimis projek pemasangan kabel fiber optik dasar laut dengan kapasiti sehingga 4Tbps sejauh 3,500 kilometer mampu memberi manfaat kepada sekitar 31.7 juta penduduk Malaysia.
Ternyata usaha ini tidak sia-sia apabila Malaysia kini berada di tangga ke-8 di rantau Asia-Pasifik dalam Indeks Pembangunan ICT (IDI). Kedudukan baik ini memperlihatkan pencapaian positif Malaysia dari sudut akses atau capaian, penggunaan dan kemahiran dalam ICT.
Kadar penembusan jalur lebar turut mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan apabila lebih dari 30 juta langganan jalur lebar dicatatkan pada 2015, iaitu peningkatan 50 peratus daripada 20 juta pada 2014.
Sehingga suku tahun pertama 2016, sebanyak 675 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan pedalaman telah siap dibina manakala 164 yang lain dalam proses pembinaan. Lebih daripada satu juta pengguna telah mendapat manfaat dari perkhidmatan berkenaan. Jumlah keahlian di PI1M pula telah mencecah lebih 550,000 orang.
Kejayaan kepada pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut tidak berlaku tanpa hubungan baik, kerjasama dan sokongan syarikat-syarikat dan pemain-pemain industri telekomunikasi negara.
Melalui pembinaan Pusat Data di Iskandar Malaysia yang membolehkan pemain industri melakukan aktiviti ekonomi digital di Malaysia dengan kos yang lebih efektif. Ini kerana Rangka Kerja Harga Capaian akan ditambah baik bagi menggalakkan persaingan dan perkongsian infrastruktur dalam kalangan penyedia perkhidmatan.
Pada Majlis Konsultansi Bajet 2017, Najib mengumumkan Ekonomi digital juga merupakan fokus Bajet 2017, dan ini bermakna kementerian mempunyai peranan penting dalam memastikan ekonomi digital berjaya dimajukan untuk pembangunan negara.
Dalam pada itu, kejayaan Multimedia Super Corridor (MSC) Malaysia yang turut menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat. Sehingga Jun 2016, sebanyak 4,042 buah syarikat ICT telah diberikan status MSC Malaysia.
Pada tahun 2015, MSC Malaysia telah menyumbang sebanyak RM15.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Tahun 2015 juga merupakan tahun yang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi sejak penubuhan MSC Malaysia dengan nilai pelaburan baharu sebanyak RM5 bilion iaitu peningkatan sebanyak 72% berbanding RM2.9 bilion pada tahun 2014. Manakala pelaburan semula mencatatkan sebanyak RM15.2 bilion.
Program eRezeki yang diperkenalkan telah menarik seramai 76,156 orang dari golongan B40 untuk berdaftar. Seramai 30,925 orang pula telah dilatih di bawah program ini. Daripada jumlah ini, seramai 22,873 orang telah menjana pendapatan berjumlah lebih daripada RM15 juta.
Sebanyak tiga platform khidmat luar kumpulan ataupun crowdsourcing antarabangsa dan 18 platform tempatan telah menjadi rakan industri program eRezeki.
Industri kreatif mempunyai potensi besar untuk menjana kekayaan dan mewujudkan peluang pekerjaan melalui penggalakan dan eksploitasi harta intelek.
Sehingga Jun 2016, nilai jualan dan pelaburan eksport kandungan adalah sebanyak RM51.2 juta melalui program pasaran filem antarabangsa. Bagi tempoh yang sama, nilai kandungan eksport adalah sebanyak RM240 juta.
Manakala jumlah kutipan filem bagi 24 buah filem yang ditayangkan melalui skim wajib tayang adalah sebanyak RM56.74 juta. Kesemua ini membuktikan industri kreatif mampu menjadi pemacu kepada ekonomi baru negara.
Malaysia juga tidak ketinggalan untuk menganjak industri kreatif negara melalui penghijrahan penyiaran TV terrestrial kepada digital dengan pelaksanaan projek Pendigitalan Penyiaran Nasional.
Pelancaran perkhidmatan TV Digital secara berperingkat disasarkan bermula pada suku keempat 2016 di kawasan Pantai Timur, Semenanjung Malaysia. Sehingga Jun 2016, liputan siaran perkhidmatan TV Digital telah disediakan kepada hampir 85% kawasan berpenduduk melalui pembinaan 14 stesen pemancar TV di seluruh Negara.
Salleh berjanji akan terus melipatgandakan usaha melalui pemantapan dasar, strategi dan program di bawah empat teras utama kementerian dalam memastikan Malaysia menjadi negara maju dalam semua aspek melalui pertumbuhan berpaksikan rakyat.
SH