
Oleh: M Zakry Chan (Melaka)
MELAKA, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Sepakat membawa berkat, perumpamaan yang tepat untuk mengambarkan kesepakatan tujuh jiran dari Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal yang mengadakan rumah terbuka Aidilfitri bersama-sama pada Khamis lalu.
Tahun ini merupakan kali kedua mereka mengadakan rumah terbuka bersama-sama dengan jemputan hampir 500 tetamu. manakala menu yang dihidangkan juga disiapkan secara bergotong royong antaranya lemang, ketupat, rendang, kuah kacang, sate, laksa dan mi kari.
Menurut Ketua Projek, Mohamed Abdul Molok, 44, cadangan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri bersama enam lagi jirannya, Zamri Ibrahim, 38, Abu Bakar Mustafa, 58, Kamarudin Abdullah, 47, Syed Farid Syed Sofi, 42, Mohd Rosli Manap, 49, dan Wan Zulkhairnain Wan Abdul Rahman, 44, hadir secara kebetulan.
“Apabila melihat majlis yang diadakan pada tahun lepas mendapat sambutan, kami bersetuju untuk mengadakan rumah terbuka bersama lagi pada tahun ini. Kami bertujuh membuat tabungan RM100 sebulan dan simpanan menjangkau RM8400 genap setahun.
“Dengan wang tersebut, kami gunakan untuk mengadakan majlis ini. Memang menjimatkan dan macam kenduri kahwin di taman pula,” jelas Mohamed sambil berseloroh.
Tetamu yang hadir merasa kagum dengan semangat tujuh sejiran ini. Antaranya, Rano Md Zan berkata, kenduri ini contoh terbaik permuafakatan antara jiran.
“Ini adalah contoh yang terbaik, saya pertama kali melihat rumah terbuka di buat bersama tujuh jiran. Pelaksanaan rumah terbuka berkelompok seperti ini amat bagus diamalkan kerana bukan sahaja menjimatkan malah lebih meriah dan pasti permuafakatan antara kejiranan dapat diperkukuhkan,” ujar Rano.
-DZ