Oleh : Syed Hisham Shah (Putrajaya)
TAWAU, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 20 buah motosikal berkuasa tinggi memeriahkan Kembara Super Bikers sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2016 di Wisma Persekutuan di sini, pagi tadi.
Program yang diadakan bagi memeriahkan Kempen Kibar Jalur Gemilang itu diketuai Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan turut disertai ahli kelab motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Tawau UMNO Bikers (TUB), Raptor, R25 Tawau dan Pelesit Bikers.
Kembara berkenaan memulakan jelajah konvoi di Bandar Tawau sebelum ke Semporna. Seterusnya peserta kembara akan meneruskan perjalanan ke Kunak sebelum mengakhiri kembara di Wisma Persekutuan Tawau.
Ketua Kembara, Ibrahim Rahman berkata kembara ini merupakan sebahagian agenda jabatan dalam menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan kali ini.
“Kembara ini dijalankan dengan harapan dapat menyampaikan kesedaran kepada rakyat akan kepentingan sambutan bulan kebangsaan ini, ujar beliau dalam ucapan alu-aluannya sebelum peserta kembara dilepaskan.
Beliau juga menyeru kepada anak-anak muda zaman kini untuk memahami semangat patriotism seadanya serta meningkatkan kesedaran tentang keamanan yang terjalin kini.
Sementara itu, salah seorang peserta kembara, Muhammad Ashraf, 24, mengakui penyertaan dalam aktiviti kembara ini dapat mengeratkan dirinya dengan peserta-peserta kembara yang lain selain dapat menyemarakkan lagi kempen Kibar Jalur Gemilang kali ini.
“Selain daripada menikmati keindahan negeri Sabah ini, kembara kali ini dapat menyemai semangat patriotism dengan masyarakat tempatan,” ujar penjawat awam yang berasal dari Negeri Sembilan yang kini bertugas di sini.
Biarpun kembara kali ini dimonopoli peserta lelaki, bagi Nurhafisah Jailani, 23, antara peserta wanita yang turut serta dalam kembara kali ini berkata, kembara kali ini amat bermakna buat dirinya kerana ianya bukan sekadar kembara namun sebagai sebuah pengisian dalam memaknakan erti Hari Kebangsaan.
“Hari Kebangsaan harus diamati terutamanya golongan belia kerana mereka ini yang akan memastikan kelangsungan keamanan yang ada pada hari ini. Pada masa yang sama saya juga teruja untuk memahami budaya setempat,” ujar anak jati Tawau ini yang menunggang motosikal model Kawasaki Ninja 250 dalam kembara kali ini.
Kembara kali ini turut menjalankan misi kemanusiaan apabila akan turut membantu menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Tanjung Batu yang terlibat dalam bencana itu Jumaat dan Selasa lalu yang melibatkan lebih 70 keluarga.
Majlis pelepasan peserta kembara ini telah disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
-SH