Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Lemang Periuk Kera Juadah Istimewa Masjid Tanah

By 4 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Mastika Hablum (Melaka)

ALOR GAJAH, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Bulan Syawal telahpun meninggalkan kita dan semalam merupakan hari terakhir rumah terbuka diadakan.

Hampir seluruh rumah yang dikunjungi menyajikan menu utama seperti lemang dan ketupat bersama rendang dan kuah kacang. Tidak lupa juga dengan menu yang jarang terhidang iaitu lemang periuk kera.

Berbeza dengan lemang biasa yang dibakar dengan menggunakan buluh, lemang periuk kera sebaliknya dikukus di dalam tumbuhan berbentuk kelongsong dikenali nama saintifiknya Nepenthes Gracilis.

Bagi seorang peniaga, Nadzir Che Man, 39, permintaan pelanggan terhadap lemang periuk kera ini amat menggalakkan. Kebiasaannya, lemang ini dijual dengan harga RM40 bagi 100 kelongsong yang kosong. Namun, permintaan ketika Aidilfitri lalu meningkat hingga harganya mencecah RM60.

Mengupah seorang rakan yang memetik tumbuhan ini di Hutan Simpan Sungai Udang, Nadzir memberitahu Malaysiaaktif bahawa pekerjaan ini memerlukan kepakaran kerana dikhuatiri ada spesis yang beracun.

“Pulut yang dibilas bersih perlu dimasukkan ke dalam kelongsongnya dan disusun cermat di dalam pengukus. Setelah air dididihkan, santan yang dibancuh dengan garam dituang ke dalam kelongsong yang telah dimasukkan pulut tadi. Kemudian dikukus sehingga masak,” jelas Nadzir.

Tambahnya, aroma yang harum hasil penggunaan kelongsong tersebut menjadikan lemang periuk kera lebih istimewa berbanding lemang biasa. Malah, tempoh memasak lemang ini lebih singkat iaitu hanya setengah jam berbanding lemang buluh.

“Setakat ini, ramai yang puji rasa dan aroma lemang peruk kera ini. Manakala, harga yang diletakkan pula berbaloi dengan rasa dan kesukaran mendapatkan kelongsong. Untuk setengah kilo, kita menjualnya dengan harga RM20,” ujarnya ketika ditemui di gerainya semalam.

Terletak berhadapan dengan Pasar Masjid Tanah, gerainya yang dibuka setiap hari membolehkan para pelanggan merasai sendiri keenakan lemang periuk kera tanpa perlu menunggu bulan Syawal tiba.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda