Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Kebajikan Anggota ATM dan Keluarga Diutamakan

By 28 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Liputan dan Foto oleh : Herman Hamid (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Malaysiaaktif) – “Kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi keutamaan paling atas”.

Demikian kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semasa berucap pada Majlis Perasmian Upacara Pecah Tanah Projek Pembangunan Kompleks Wisma Bintara ATM yang menelan kos sebanyak RM45 juta di Jalan Padang Tembak, di sini semalam.

whatsapp-image-2016-09-28-at-08-28

Majlis Perasmian Upacara Pecah Tanah Projek Pembangunan Kompleks Wisma Bintara ATM

Tindakan memelihara kebajikan perajurit-perajurit negara dengan sebaik mungkin merupakan ciri sebuah bangsa dan negara yang maju serta kehadapan.

Beliau berkata, “ Biar segagah mana sekalipun usaha kita mempertahankan kedaulatan negara dan biar semaju mana sekalipun aset persenjataan yang dimiliki, ia masih tidak lengkap sekiranya anggota kita ditempatkan di kawasan yang tidak sesuai dengan tuntutan semasa.”

Beliau beberapa kali menegaskan agar pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan tidak memandang enteng isu kebajikan anggota ATM dan keluarga.

Ini diperkuatkan lagi dengan pelaksanaan feri sekolah yang memberi manfaat kepada 13,303 orang anak-anak warga ATM di seluruh negara.

Mulai 1 Februari 2016 tiada lagi anak-anak warga ATM yang menaiki trak 3 tan untuk ke sekolah sebaliknya mereka diberi kemudahan menaiki bas yang selesa dan selamat.

whatsapp-image-2016-09-28-at-08-29

Anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Selain itu, perkhidmatan Pusat Asuhan Anak Warga ATM di kem-kem ATM seluruh negara turut diwujudkan mulai Jun lalu bagi memberi peluang pekerjaan kepada isteri anggota yang tidak bekerja.

Dalam pada itu, penambahbaikan sistem Tred dan Band ATM (Pay Band) iaitu sistem saraan yang menjadi asas penetapan gaji bagi setiap anggota lain-lain pangkat (LLP) di mana gaji dibayar pada lima peringkat band gaji mengikut kemahiran masing-masing juga telah diluluskan dan berkuatkuasa pada 1 Julai 2016.

Pada masa yang sama program pembangunan perumahan untuk warga ATM sedang dilaksanakan bertujuan meningkatkan kualiti hidup dan keselesaan warga ATM.

Beberapa langkah telah di laksanakan termasuklah pembinaan 4,000 unit  Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di 11 lokasi seluruh Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke 11 (RMK-11) dengan peruntukan sebanyak RM 160 juta untuk tahun ini.

Jumlah keseluruhan untuk pembinaan unit-unit RKAT ini ialah sebanyak RM1.2 billion sepanjang RMK-11 dan RM18.357 juta telah di peruntukkan bagi projek senggaraan RKAT.

Turut hadir pada majlis ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Abdul Rahim Mohd Radzi,  Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarul Zaman Haji Ahmad Badarudin, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan Saad dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

-DK

Tinggalkan komen anda