Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Institusi Raja Berpelembagaan Utuh Berdepan Cabaran

By 29 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan  Foto oleh Herman Hamid

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Malaysiaaktif) – “Institusi Raja Berpelembagaan di bumi ini masih utuh biarpun berdepan cabaran dunia modenisasi.”

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Jamalullail, merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) semasa merasmikan Seminar Institusi Raja (SIRaj) IV di sini hari ini.

“Institusi Raja telah bertapak di Malaysia sejak ratusan tahun yang lampau dan pelbagai onak duri dan cabaran yang terpaksa kita tempuhi dalam usia tersebut termasuklah sejarah getir menghadapi penjajahan kuasa asing”.

“Dalam tempoh berkenaan juga kita telah menyaksikan pelbagai episod tumbangnya beberapa sistem monarki atau beraja seantero dunia.”

“Sejarah turut mencatatkan pengislaman Raja-Raja Melayu telah membentuk identiti masyarakat muslim Melayu yang teguh nilai dan jati dirinya. Kesannya, aspek akal, ilmu dan budi telah meresapi segenap rakyat dan peranan Kesultanan Melayu telah terlihat dari aspek intelektualisme, budaya dan pendidikan”, titah baginda lagi.

Sementara itu, menurut Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Dr Zul Azhar Zahid Jamil SIRaj IV 2016 adalah wadah untuk memperkukuh institusi beraja di Malaysia.

Beliau berkata ia memberi pemahaman dan pengetahuan kepada rakyat tentang kepentingan hubungan luar Kesultanan Melayu yang berlaku melalui pelbagai cara, antaranya perkahwinan diraja, perdagangan, penaklukan, penyebaran agama dan hubungan diplomatik.

Siri seminar yang bermula sejak 2013 itu kali ini bertemakan ‘Menghayati Kemasyhuran Kesultanan Melayu’ dan dianjurkan oleh UniMAP dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Turut hadir pada majlis ini Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan bin Man, Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Hajah Nafisah Ahmad, Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, dan Profesor Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda