Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeMelakaViral

KAYM Tawan Puncak Irau Dan Brinchang

By 29 September 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka / Foto: Ihsan KAYM

MELAKA, 29 Sept (Malaysiaaktif) – Pelbagai halangan termasuk memanjat kecerunan hampir 90 darjah selain laluan batu-batuan raksasa dan akar kayu bersaiz besar menguji kesabaran, ketahanan mental dan fizikal bagi Muhammad Nur Aiman Abd Malek.

Muhammad Nur Aiman merupakan salah seorang daripada 21 peserta Trans-Cameron Revisit 2016 terdiri daripada pelajar dan kakitangan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) yang berjaya menawan puncak Gunung Irau dan Brinchang di Cameron Highlands, baru-baru ini.

“Saya amat teruja untuk sampai ke puncak gunung kerana ia merupakan antara yang tersukar di Malaysia,” katanya yang juga kakitangan Jabatan Penerbitan KAYM.

Menurut pelajar program UTM-KAYM, Shanjeev Sharma Prem Kumar pula, ekspedisi ini turut membantu merapatkan hubungan antara satu sama lain selain dapat berfikiran positif untuk menawan puncak.

“Aktiviti seperti ini juga dapat mendekatkan golongan muda dengan alam sekitar, sekaligus mengajar mereka untuk lebih menghargai alam,” ujarnya.

Rata-rata peserta merasakan ekspedisi kali ini benar-benar mencabar mental dan fizikal mereka. Namun begitu, mereka sentiasa menyokong dan memberi semangat antara satu sama lain sehingga berjaya menawan kedua-dua puncak Gunung Irau dan Brinchang.


Ini merupakan persediaan para peserta untuk cabaran yang lebih besar, dalam usaha untuk menawan Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia pada Ogos tahun hadapan.

Menurut Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi, program seperti ini dapat membina ketahanan, kekuatan fizikal dan mental serta membentuk semangat berpasukan yang tinggi.

“Program ini merupakan aktiviti berbentuk fizikal bagi mengekalkan kecergasan tubuh badan pada tahap yang optimum dan dapat meningkatkan keyakinan peserta untuk berhadapan dengan sebarang cabaran dan rintangan,” jelasnya.

Tambahnya, misi pendakian untuk menawan gunung bukanlah mudah dan peserta memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk menghadapi rintangan dan kesukaran bentuk muka bumi yang curam untuk sampai ke destinasi.

“Semangat kebersamaan yang ada dalam diri para peserta bagaimanapun mendorong untuk menawan puncak gunung tersebut di samping mempromosi aktiviti sihat dalam kalangan pelajar.

“Saya berharap lebih ramai pelajar KAYM dapat merancang aktiviti berbentuk jati diri seperti ini bagi menaikkan lagi nama pelajar dan kolej,” katanya.


-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda