
Oleh: U.Prakash & S.Shanmuganathan (George Town)
GEORGE TOWN, 7 Sept (Malaysiaaktif) – Satu unit kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran di Jalan Katz, di sini, pagi tadi. Insiden yang berlaku pada 8.00 pagi itu melibatkan sebuah kedai perkakasan besi.
Kebakaran mula disedari oleh pelanggan restoran makanan Cina yang terletak berhadapan dengan kedai tersebut sebelum bertindak menelefon pihak Bomba.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohd. Rozaidi Abd. Halim, pihaknya sampai di tempat kejadian kira-kira 8.15 pagi dengan tujuh jentera dan 26 anggota dari Balai Bomba Lebuh Pantai, Bomba Sukarela Jalan Perak, Pen Apparel dan Seri Tanjung.
Tambah Rozaidi, kebakaran berjaya dikawal 35 minit setelah jentera tiba, namun bahagian atas bangunan kedai berkenaan telah hampir 100 peratus terbakar ketika itu.
“Setakat ini punca kebakaran dan kerugian masih disiasat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, tiada kemalangan jiwa berlaku di tempat kejadian.