Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Rokok Lebih Berbahaya Berbanding Menara Telekomunikasi

By 23 September 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka / Foto utama: vyampier.wordpress.com

MELAKA, 23 Sept (Malaysiaaktif) – Bantahan orang ramai mengenai pembinaan menara telekomunikasi kerana gusar tentang masalah radiasi sememangnya tidak berasas kerana pembinaan tersebut tidak menjejaskan kesihatan orang ramai.

Menurut Pengurus Kumpulan Sinaran Tidak Mengion (NIR), Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Sinaran, Agensi Nuklear Malaysia, Roha Tukimin, orang ramai membantah kerana mereka sebenarnya kurang pemahaman mengenai perkara tersebut dan sering mengaitkan radiasi dengan bahan radioaktif.

roha-tukimin-2

“Radiasi Radio Frekuensi (RF) merupakan sinaran tenaga rendah berfungsi untuk menyampaikan isyarat telefon dan tiada kaitan dengan bahan radioaktif” – Roha Tukimin.

 

“Tanpa menara itu, kita tidak akan ada sistem telekomunikasi dan dari segi fungsi pula ia mestilah menggunakan Radiasi Radio Frekuensi (RF). Sinaran tersebut merupakan sinaran tenaga rendah yang berfungsi untuk menyampaikan isyarat telefon dan tiada kaitan dengan bahan radioaktif dan seumpamanya,” jelas Roha.

Tambahnya, orang ramai perlu memahami fakta mengenai RF kerana RF merupakan satu keperluan untuk menjadikan telekomunikasi di Malaysia sentiasa ke hadapan dan orang ramai tidak perlu gusar atau berfikir bahawa ianya akan menyebabkan kesan kesihatan.

“Masyarakat tidak perlu risaukan keselamatan menara telekomunikasi. Sebenarnya, terdedah kepada rokok secara terus lebih berbahaya kerana terus masuk ke dalam badan kita,” ujarnya dalam Taklimat Kesan-kesan Radiasi RF Terhadap Kesihatan di Kompleks Kesidang, semalam.

Jelasnya, fungsi menara itu adalah untuk memastikan telefon pengguna berfungsi dan mempunyai liputan termasuk internet berikutan semua tugasan sekarang dilakukan melalui hujung jari.

Menurut Roha, mereka kerap melakukan kajian pengukuran dan adakalanya dalam kuantiti yang banyak kerana itu merupakan salah satu cara pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memastikan bahawa pihak penyedia rangkaian mematuhi aras sinaran yang telah ditetapkan oleh menara telekomunikasi.

“Dari keseluruhan pengukuran yang kita buat, hasilnya cuma 0.02 mikrowatt(mw) per sentimeter persegi pengukuran kita yang terdedah  kepada RF dan paling tinggi 1.3mw yang mempunyai had dedahan sebenar 1000mw,” jelasnya.

Tambah Roha lagi, Malaysia mengambil pakai tahap pendedahan oleh Suruhanjaya Perlindungan Sinaran Tidak Mengion Antarabangsa (ICNIRP) yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Kementerian Kesihatan.

Katanya, tahap pendedahan itu turut dirujuk oleh negara seperti Australia, Singapura dan United Kingdom.

kiri-roha-tukimin-ceo-micth-zainal-abidin-ismail-dan-pengurus-infrastruktur-telekomunikasi-mohd-hagizullah-abdullah

Kiri: Roha Tukimin, CEO MICTH, Zainal Abidin Ismail dan Pengurus Infrastruktur Telekomunikasi, Mohd Hafizullah Abdullah.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holding Sdn Bhd (MICTH), Zainal Abidin Ismail berkata sejak bermula penggunaan telefon bimbit pada tahun 1985, tiada satu pun kes penyakit yang dikatakan berpunca daripada radiasi.

“Kita mengharapkan sokongan orang ramai sebab kita nak merealisasikan ‘Melaka Maju Fasa 2’ dan dengan itu kita terpaksa bangunkan infrastruktur sebanyak dan secepat yang mungkin. Banyak pihak-pihak industri yang datang untuk melabur di Melaka ingin melihat dari segi penyediaan infrastruktur yang dapat kita berikan,” katanya.

Tambahnya, jika Melaka tidak dapat menyediakan kemudahan tersebut, pelabur tidak akan dapat menjalankan perniagaan mereka. Dan jika banyak bantahan daripada masyarakat, ini hanya akan melewatkan pembangunan dan membantutkan hasrat pelabur yang hendak datang ke Melaka.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda