
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dan Salam 1 Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
Tahun ini sambutan Hari Malaysia akan lebih bermakna kerana Program Transformasi Negara sudah menampakkan hasil.
Hanya dalam masa 7 tahun pelbagai projek pembangunan terlaksana dan menjadi asas kepada struktur kukuh ekonomi negara.
Bagi memudahkan rakyat Malaysia berhubung, kita telah membangunkan projek MRT, LRT 2 dan 3 serta Bas Rapid Transit.
Selain itu, Lebuhraya Pantai Timur dipanjangkan lagi dengan pembinaan fasa kedua sepanjang 185km.
Pembinaan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan bandar-bandar utama dari Kuala Lumpur ke Singapura akan meningkatkan aktiviti ekonomi di sepanjang laluan berkenaan termasuklah menaikkan nilai hartanah di bandar-bandar persinggahan.
Manakala di Sabah dan Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo sedang dibina bagi meningkatkan aktiviti ekonomi di sana.
Seterusnya, bangunan pencakar langit ikonik seperti KL118, Tun Razak Exchange sedang dibina bagi memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi di ibu negara.
Kerajaan juga telah membina lebih banyak rumah mampu milik seperti PR1MA dan Rumah Transit.
Bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan perubatan kita telah membina lebih banyak Klinik 1Malaysia, Klinik Bergerak 1Malaysia.
UTC dan RTC pula dibina bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan.
Banyak lagi pembangunan infrastruktur yang dibangunkan kerajaan, dan kerana inilah juga ekonomi kita tetap kukuh walaupun diasak pelbagai faktor luaran.
Walau apapun kritikan diterima, kita akan terus komited mengukuhkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.
Sekian sahaja dari saya.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.