
Oleh Mohd. Zahari Zakaria / Foto : Izzudin Barahim (Bukit Mertajam)
BUKIT MERTAJAM, 1 Sept (Malaysiaaktif) – Kemerdekaan tanah air pada usia 59 tahun masih dianggap muda dan pada usia sebegitu ia harus dipertahankan demi kelangsungan generasi muda, khususnya.
Begitu tanggapan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman semasa menyampaikan ucapan sempena Program Penghayatan Bulan Kemerdekaan yang berlangsung di Masjid Daerah Perda, Seberang Perai Tengah pada malam Selasa lepas.
“Belia hari ini perlu meneruskan perjuangan pemimpin dahulu agar tanah air kita terus merdeka dan berjaya dibangunkan mengikut acuan kita,” kata Zainal lagi.
Program yang dihadiri oleh lebih 400 orang ini dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri.
Majlis turut dimeriahkan dengan konvoi bermotosikal anak muda serta ceramah agama oleh Professor Dr. Ridhuan Tee Abdullah dengan tajuk, “Belia Merdeka Dari Perspektif Islam”.
Menurut Ridhuan, tema Sehati Sejiwa adalah amat sesuai kerana dapat menyatukan semua masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.