Laporan dan foto oleh Mohd Yusof Hj. Abd. Samad
JASIN, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 65 orang penerima berbangsa India yang terdiri dari mereka yang miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal dalam Dewan Undangan Negeri kawasan Rim menerima sumbangan bantuan bagi menyambut perayaan Deepavali yang akan tiba tidak lama lagi.
Ketua MIC cawangan Taman Mesra Rim, Datuk S. Perriamalai berkata, penyampaian sumbangan ini adalah platform terbaik bagi mengeratkan kemesraan dan mendekatkan pemimpin dengan masyarakat walaupun berbeza agama dan budaya.
Sumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad di mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rim, di sini pada Selasa.
Menurut Ghazale, antara tujuan utama program ini juga adalah bagi membantu mereka yang kurang bernasib membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali dan merasa gembira seperti orang lain yang sebangsa dengan mereka.
“Semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban dan kos sara hidup yang kian meningkat ketika ini, ujarnya.
Tambahnya, bantuan sumbangan ini akan turut diberikan menjelang Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.
“Ini selaras dengan laungan 1Malaysia yang disaran oleh kepimpinan tertinggi untuk memupuk persefahaman dan perpaduan di negara ini,” katanya.
-DZ