
Oleh: Fauzrina Hj Bulka / Foto: AADK Melaka
MELAKA, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Serbuan enam anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka Tengah pada Jumaat lalu berjaya menahan seorang remaja lelaki dipercayai pembekal yang memiliki 40 bungkus cecair disyaki air ketum.
Penganggur berusia 24 tahun yang ditahan pada kira-kira jam 11.25 malam turut memiliki dadah jenis heroin seberat 1.25 gram di dalam rumahnya di Taman Sri Bertam, Sungai Udang di sini.
Menurut Pegawai Penyiasat Kes, AADK Melaka Tengah, Mazlan Alias, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan seorang diri di rumah dan dia memberi kerjasama ketika siasatan dijalankan.
“Anggota AADK melakukan pemeriksaan dan menjumpai sebanyak 40 bungkus plastik air ketum yang diisi di dalam bekas berisi ais di bahagian dapur dan juga di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, pemeriksaan selanjutnya juga menemukan satu beg plastik lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 1.25 gram dan juga peralatan untuk menghidap dadah.
“Hasil siasatan mendapati remaja terbabit memproses sendiri air ketum terbabit untuk dijual dengan harga RM10 sebungkus dan menjalankan urusan jual beli di rumah dan memperoleh bekalan dari pembekal di Perak,” katanya.
Mazlan berkata, siasatan mendapati remaja terbabit telah beroperasi selama kira-kira tiga bulan dan tidak mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan dadah, namun ujian saringan awal urin mendapati dia positif dadah jenis heroin.
“Pihak kita telah menahan remaja terbabit untuk diserahkan kepada Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah untuk tindakan lanjut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” jelasnya.
-DZ