
Foto: Harian Metro
JOHOR BAHRU, 31 OKT – Hospital medan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dijangka beroperasi pada hari ini ditunda ke hari esok disebabkan kerja-kerja pemindahan barang-barang keperluan unit dewan pembedahan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) masih belum selesai.
Tinjauan Bernama di lokasi perkarangan bangunan induk HSA mendapati kerja-kerja pembersihan sedang berjalan selain kakitangan HSA dilihat membawa masuk peralatan seperti mesin perubatan, katil, kerusi dan keperluan lain ke dalam hospital medan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, hospital medan itu akan cuba digunakan sebaik sahaja kerja-kerja pembersihan dan persiapan kelengkapan selesai.
“Hospital medan ini insya-Allah akan beroperasi esok, hari ini kita akan buat percubaan setelah siap kerja-kerja pendawaian bekalan elektrik dan penilaian keselamatan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Bomba sedang membuat pemeriksaan keselamatan terhadap keseluruhan struktur hospital medan ini dengan bantuan jurutera ATM dan Medivest Sdn Bhd. Doktor dan kakitangan HSA akan turut ditugaskan membantu hospital medan ini secara bergiliran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.