Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Parkir Berbayar UTC Melaka Dapat Sokongan Orang Ramai

By 31 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Mengulas lanjut tuduhan parkir berbayar UTC Melaka tidak mempunyai permit, Pengurus Besar Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Datuk Sharabuddin Kudus berkata dakwaan mengatakan mereka tidak mengemukakan permohonan tersebut adalah tidak benar.

Sebelum ini, Pegawai Khas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Mohd Yusof Abu Hasan tampil memohon penjelasan daripada UTC Melaka melalui media atas aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan notis bayaran letak kenderaan yang bakal dikenakan di perkarangan pusat tersebut.

pengurus-besar-yayasan-dunia-melayu-dunia-islam-dmdi-datuk-sharabuddin-kudus

Pengurus Besar Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Sharabuddin Kudus menunjukkan kertas kerja cadangan sistem parking pintar UTC Melaka.

 

Menurut Sharabuddin, mereka tahu apa yang perlu dilakukan dari awal memandangkan tanah dan bangunan UTC ini adalah milik Yayasan DMDI.

“Kita tahu apa yang kita buat dan kita tahu peraturan memandangkan tanah dan bangunan UTC ini adalah milik Yayasan DMDI. Justeru, pada saya adalah lebih baik beliau (Mohd Yusof) menumpukan kepada pemantauan sampah sarap, judi siber atau kegiatan judi haram sebab perkara itu lebih utama yang perlu diberi tumpuan,” katanya.

Jelasnya, idea untuk mewujudkan parkir berbayar datang daripada rungutan dan aduan yang diterima daripada orang ramai dan kakitangan serta pegawai yang bertugas di UTC.

1

Sistem parkir berbayar UTC Melaka yang masih di dalam percubaan.

 

“Beberapa siri dialog dan perbincangan telah dilakukan bahkan siri dialog yang terakhir dilakukan pada 19 September lepas dengan para pengguna dan masyarakat dan hasilnya mereka mengalu-alukan malah memberikan sokongan.

“Tempoh ini adalah tempoh percubaan dan kita sedang menyelaras sistem tersebut. Sepatutnya Mohd Yusof datang berjumpa pihak pengurusan dahulu untuk mendapatkan penjelasan sebelum berjumpa media.

“Kita bukannya hari ini cakap, esok kita buat. Kita mengambil masa hampir enam hingga tujuh bulan meneliti serta mengkaji semua aspek supaya bila kita laksanakan ada value added (nilai tambahan) khususnya kepada masyarakat pengguna,” jelasnya kepada pemberita di pintu masuk UTC, tadi.

Kata Sharabuddin, maklum balas dari pengguna telah diterima dan kebanyakan mereka gembira kerana sebelum ini ketika parkir tidak dikenakan bayaran, ramai yang mengambil kesempatan parkir seharian hingga yang ingin berurusan di UTC terpaksa meletakkan kenderaan di luar.

4

Tempat letak kereta percuma ini menyebabkan ramai yang mengambil kesempatan meletak kereta seharian sehingga menyusahkan pengunjung yang inign berurusan di UTC Melaka.

 

“Maksimum sehari ialah RM6 dan kadar itu cukup munasabah bagi mengelakkan kesesakan. Terdapat 300 tapak parkir disediakan di sini untuk menampung 10 ribu pengunjung setiap hari. Bayangkan jika 200 parkir tersebut digunakan sesuka hati oleh orang luar?” soalnya.

Dalam pada itu, Malaysiaaktif difahamkan pengguna akan dikenakan bayaran percuma untuk sejam yang pertama manakala jam kedua dan seterusnya adalah RM1.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda